suria

Alex Yoong, Antara Tiga Muka Baru Sertai Lotus F1 Racing Team

SEPANG: Lotus F1 Racing hari ini mengumumkan tiga pelantikan pegawai kanan pasukan sebagai persediaan pasukan Malaysia itu menjelang penampilan sulung dalam musim Kejohanan Dunia Formula 1 FIA 2010.

Ketua Eksekutif Motorsports Association of Malaysia (MAM), Mia Sharizman Ismail dilantik sebagai Ketua Operasi (Asia) Lotus F1 Racing, bekas pemandu F1 Malaysia Alex Yoong sebagai Ketua Pembangunan Pemandu (Asia) serta Pengetua Pasukan Litespeed Formula 3 yang berpejabat di United Kingdom, Nino Judge sebagai Ketua Pembangunan Pemandu (Eropah).

Pengetua Lotus F1 Racing Team Datuk Seri Tony Fernandes, dalam satu kenyataan di sini, berkata, "Pelantikan tiga pegawai kanan ini akan memberi rangsangan hebat kepada Lotus F1 Racing. Pasukan ini telah mencapai beberapa kejayaan penting dan kami berada di landasan betul untuk berada dalam petak grid perlumbaan di Bahrain tahun depan."

Mia Sharizman akan menyelia bidang-bidang tertentu operasi pasukan termasuk promosi, menjalin hubungan dengan badanbadan sukan permotoran di rantau ini dan dipertanggungjawabkan untuk mengkaji operasi perlumbaan pasukan yang ketika ini berpangkalan di United Kingdom dengan matlamat untuk pemindahan pengetahuan dan kepakaran ke Malaysia.

Yoong dan Judge akan bersama-sama menganjurkan program pembangunan pemandu Lotus F1 Racing dengan tujuan memupuk pemandupemandu bagi pembangunan masa hadapan di Malaysia, Asia dan Eropah.

Sukan Permotoran (Lotus F1)

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lotus F1 Riad Asmat berkata, "Skim pembangunan pemandu muda akan memainkan peranan utama untuk mencari dan membentuk pelumba muda Malaysia dan adalah memberangsangkan Litespeed boleh memainkan peranan penting dalam proses itu.

"Terdapat banyak bakat baru sukan permotoran di Malaysia dan sebagai pasukan kebangsaan F1, ia adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengetengahkan mereka.

"Kami menggalakkan lebih ramai ibu bapa untuk membawa anakanak mereka menceburi perlumbaan karting tetapi langkah paling genting ialah hala tuju dan landasan untuk pelumba karting ini melangkah seterusnya," katanya selepas pelancaran Program Mencari Bakat Karting MAM di sini hari ini.

Lotus F1 Racing dikendalikan oleh 1Malaysia Racing Team Sdn Bhd. Pasukan itu diletakkan pada tangga ke18 dan 19 dalam senarai penuh pengeluar dan pemandu yang diumumkan oleh Federation of International Automobile (FIA) pada 30 Nov.

Lotus F1 Racing diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September dan Lotus F1 Racing merupakan pasukan baru yang menyertai Kejohanan Dunia Formula 1 musim 2010.

Lotus F1 Racing akan mempamerkan bendera Malaysia dengan sokongan penuh Kerajaan Malaysia dan pasukan ini dibiayai sepenuhnya oleh tokoh usahawan Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain