suria

Dua Pelayar Wanita Negara Kemudi Pasukan Bertanding Dalam MMRC 2009

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 13 pasukan termasuk sembilan pasukan baru akan berentap dalam Kejohanan Lumba Layar Malaysia (MMRC) yang akan berlangsung di Pulau Duyong, di sini selama empat hari bermula Isnin ini.

Antara sembilan pasukan baru yang menyertai kejohanan itu, dua daripadanya merupakan pasukan yang diketuai oleh pelayar wanita negara iaitu Nazreen Abdul Gani,24, dari Asian Yatching Match Racing Team dan pelayar muda negara Nurul Elia Anuar, 18, dari pasukan Sail Putrajaya.

Kedua-dua pelayar muda itu dijangka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain untuk merebut kejuaraan kejohanan yang menawarkan satu slot automatik ke Piala Monsun yang akan berlangsung dari 16 Disember ini.

Nurul Elia berkata, walaupun terpaksa berhadapan dengan pasukan yang jauh lebih berpengalaman dari pasukannya yang baru ditubuhkan empat bulan lalu, ia sama sekali tidak merisaukan diri dan rakan sepasukannya yang lain.

"Walaupun kami pasukan baru, tetapi kami semua bukan baru dalam bidang sukan pelayaran dan kami yakin mampu memberi cabaran kepada pasukan yang bertanding," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nurul Elia yang mula menceburi sukan pelayaran sejak berumur 10 tahun lagi pernah bertanding dalam beberapa kejohanan regatta di dalam serta luar negara termasuk Laser Redial World Championship di Portugal dan New Zealand.

Bagi Nazreen pula, penyertaan pasukannya kali ini sebagai satu pengalaman baru kerana akan mengemudi bot yang lebih besar berbanding bot yang pernah digunakan sebelum ini.

"Tetapi ia tidak menjadi faktor tekanan kepada saya kerana ia memberi pengalaman dan pendedahan baru kepada pasukan kami," katanya yang pernah memenangi pingat Perak bagi acara Laser Redial Ladies Division dalam Sukma 2006.

Antara pasukan lain yang akan turut bertanding dalam MMRC ialah Duyong Heritage Sailing Team, Team ViewPoint, Taring Pelangi, Royal Selangor Yatch Club, Club Marina Terengganu, Team Putrajaya Five O dan KBS.

Turut beraksi adalah pasukan yang sebelum ini pernah menyertai MMRC seperti Koo Racing TeamAC Law, Harimau Selatan yang sebelum ini dikenali sebagai Johor Sailing Team, Malaysian Armed Forces 1 dan Malaysia Armed Forces 2.

Beberapa pasukan telah mula tiba di Pulau Duyong sejak Ahad lepas untuk sesi latihan dan menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling kompleks selain meninjau selokbelok laluan perlumbaan sebelum pertarungan bermula.

Cuaca dan tiupan angin yang tidak menentu dijangka akan memberikan cabaran kepada 13 pasukan yang bertanding nanti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain