suria

Irfan Bakti Jurulatih Terengganu Musim Depan

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan memiliki jurulatih baru bagi membimbing pasukan negeri itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia tahun depan.

Jurulatih yang dimaksudkan ialah Irfan Bakti Abu Salim, bekas jurulatih Perlis musim lepas.

Pengurus pasukan Terengganu Sheikh Tajudin Sheikh Yusoff ketika mengesahkan perkara itu, berkata Irfan Bakti akan menggantikan Ken Worden yang tidak disambung kontrak musim depan.

"Kita harap Irfan Bakti akan membawa sinar baru kepada pasukan Terengganu dalam mengharungi Liga Malaysia tahun depan," katanya di sini hari ini.

Sheikh Tajudin yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata persatuan itu agak kecewa apabila Terengganu gagal memenangi sebarang piala dalam kejohanan itu tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pencapaian Terengganu agak membanggakan juga tahun ini apabila menduduki tangga kelima Liga Super dan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Beliau berkata selain jurulatih baru, Terengganu juga akan memasukkan beberapa muka baru bagi memantapkan lagi pasukan itu tahun depan.

Katanya perundingan terakhir dengan pemainpemain berkenaan sedang berjalan dan senarai penuh pemain-pemain akan diumumkan Isnin ini.

Sheikh Tajudin berkata Terengganu juga menggugurkan beberapa pemain untuk membolehkan mereka bermain dengan pasukan baru tahun depan.

Mengenai persiapan pasukan Terengganu, beliau berkata 15 pemain telah turun berlatih sejak Isnin lepas di bawah kelolaan Penolong Jurulatih Terengganu Mohd bin Nik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain