suria

Kerajaan Negeri Sedia Bantu Jika FA Perak Boleh Selesai Kemelut Kepimpinan

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sedia membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) dengan syarat "kemelut" kepimpinan persatuan berkenaan diselesaikan terlebih dahulu, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak Zainol Padzi Paharuddin.

"Tiada masalah kerajaan negeri bantu tetapi kredibiliti pemimpin yang menjadi isu di sini...," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainol Padzi berkata 12 daripada 17 persatuan gabungan Pafa minggu lepas telah menghantar notis meminta diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan usul hilang kepercayaan terhadap presiden dan ahli majlis Pafa.

Mengikut peraturan, Pafa mempunyai 30 hari untuk mengadakan EGM, kata Zainol Padzi yang juga seorang daripada anggota majlis Pafa dan menurutnya mengikut peraturan, notis daripada tujuh persatuan sudah memadai untuk diadakan EGM.

Semalam, Presiden Pafa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta kerajaan negeri membantu persatuan itu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya berikutan skuad Seladang tidak layak bertanding dalam Liga Malaysia tahun depan kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau tidak berhasrat untuk mengambil alih jawatan sebagai presiden, menggesa Mohammad Nizar berhenti mempolitikkan isu itu.

"Jangan heret bola sepak menjadi gelanggang politik dan saya tidak pernah menyatakan hasrat untuk mengambil alih jawatan presiden tetapi atas dasar sayangkan pasukan Perak, saya telah arahkan supaya usaha dibuat untuk memastikan pasukan Perak dapat beraksi dalam Liga Malaysia," katanya.

Zambry berkata dakwaan Mohammad Nizar bahawa kerajaan negeri Kelantan telah membiayai pasukan negeri itu adalah tidak benar kerana kerajaan negeri hanya memberikan insentif kepada pemain selepas mereka layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Saya telah menyemak kenyataannya...Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa hari ini menjelaskan mereka tidak menerima apa-apa bantuan dari kerajaan negeri sebelum melangkahkan kaki ke perlawanan akhir.

"Tawaran hadiah hanya diberikan selepas itu...kenyataannya (Mohammad Nizar) yang disiarkan mengenai Kafa yang mendapat bantuan sumber kewangan dari kerajaan negeri adalah tidak benar," kata Zambry. BERNAMA

Artikel Lain