suria

Tubuhkan Persekutuan Sukan Perpaduan Remaja Islam Sendiri - MOM

KUALA LUMPUR: Syarikat yang mahu menganjurkan Sukan Perpaduan Remaja Islam di negara ini pada 2011 dinasihatkan menubuhkan satu persekutuan baru untuk kejohanan itu bagi mengelakkannya terlalu bergantung kepada Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF).

Setiausaha kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata syarikat itu, Ramcel Media Sdn Bhd, boleh mengambil inisiatif untuk menubuhkan Persekutuan Sukan Perpaduan Remaja Islam yang berpangkalan di Malaysia.

"Dengan cara ini, syarikat tersebut tidak perlu mendapatkan kelulusan ISSF, yang memegang hak penganjuran Sukan Perpaduan Negara Islam dan berpangkalan di Arab Saudi.

"Penubuhan persekutuan baru itu juga memberikan hak eksklusif kepada syarikat tersebut untuk menganjurkan kejohanan sukan baru tanpa ada sekatan daripada ISSF," kata Sieh kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata selepas menubuhkan persekutuan yang baru, syarikat itu perlu mendapatkan persetujuan daripada persatuan sukan di negara ini dan mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Sieh berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan syarikat itu yang mendakwa tidak mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberi sokongan dalam usaha mendapat kelulusan daripada ISSF.

Ahad lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek menolak permintaan syarikat itu untuk campur tangan bagi mendapatkan kelulusan rasmi daripada ISSF atas alasan kejohanan berkenaan dianjurkan pihak swasta dan bukan keutamaan kementerian itu.

Ketua pegawai eksekutif syarikat itu Datuk Dr Raja Mohamad Abdullah sebelum ini berkata jika KBS enggan bekerjasama, beliau akan cuba menganjurkannya dengan kerjasama MOM.

Bagaimanapun Sieh berkata MOM juga tidak berminat menganjurkannya kerana sudah terlalu banyak kejohanan serantau dan dunia dianjurkan di Malaysia.

Kejohanan itu, yang dijangka memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM100 juta, dikatakan akan membabitkan 57 negara Islam dengan 11 acara dipertandingkan seperti akuatik, badminton, bola sepak, hoki, tenpin boling dan olahraga. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain