suria

Bola Keranjang: Skuad Negara Tewaskan Thailand

JOHOR BAHARU: Skuad bola keranjang bawah 16 tahun lelaki negara mendapat suntikan moral selepas memenangi perlawanan pertama peringkat kumpulan pada kejohanan Bola Keranjang FIBA Asia pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Baharu di sini semalam.

Skuad negara itu berjaya menewaskan Thailand dengan keputusan 80-44 dalam saingan kumpulan D dengan pemain negara Loh Shee Weng muncul penjaring terbanyak dengan 34 mata.

"Namun perjalanan kita masih jauh, masih ada pasukan yang lebih kuat perlu kita hadapi dalam tempoh beberapa hari ini dan kita mesti bermain di tahap yang terbaik," kata jurulatih negara Chua Kok Kian yang ditemui di sini semalam.

Malaysia akan bertemu Taiwan hari ini dalam perlawanan kedua dan ia diibaratkan perlawanan hidup atau mati buat skuad muda negara.

"Pemain-pemain Taiwan cukup berbakat. Saya akui mereka mempunyai kelebihan mereka mempunyai kemahiran taktikal dan individu yang lebih tinggi daripada pemain-pemain kita," katanya.

Taiwan sebelum itu tumpas 74-87 kepada Iran dalam satu lagi perlawanan kumpulan D hari ini dan Malaysia perlu menang ke atas Taiwan untuk menghidupkan peluang ke pusingan kedua kejohanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain