Selangor Wakil Tunggal Malaysia Ke Piala AFC 2010 - Sukan | mStar

Selangor Wakil Tunggal Malaysia Ke Piala AFC 2010

KUALA LUMPUR: Hanya pasukan Selangor yang akan mewakili Malaysia untuk bersaing pada kejohanan Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) 2010 berbanding dua pasukan sebelum ini. Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata Selangor layak ke kejohanan itu selaku juara Piala FA dan Liga Super pada tahun ini.

"Manakala pasukan kedua yang layak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh AFC adalah Perlis yang di atas kapasiti naib juara Liga Super namun skuad Singa Utara itu telah menolaknya.

"Jadi FAM telah memohon kepada AFC untuk menggantikannya dengan pasukan lain, namun badan induk bola sepak Asia itu melalui surat maklum balasnya dua hari lepas telah menolaknya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kali terakhir Selangor menyertai kejohanan itu adalah tiga tahun lepas namun tewas kepada kelab Al-Nejmeh dari Lebanon di peringkat suku akhir.

Undian untuk menentukan kumpulan pada kejohanan tahun depan itu akan diadakan pada 7 Disember ini di Rumah AFC, Bukit Jalil dengan 32 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan iaitu 16 pasukan akan layak ke pusingan kedua dan pusingan seterusnya.

Pada saingan tahun ini, Malaysia diwakili oleh Kedah dan Johor FC namun hanya Kedah mara ke pusingan kedua sebelum tewas kepada kelab Vietnam, Becamex Binh Duong FC.

Sementara itu, Azzuddin turut mengesahkan FAM masih belum menerima sebarang surat rasmi mengenai penarikan diri Kuala Muda NAZA bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

"Saya hanya mengetahui perkara ini melalui media," katanya ketika ditanya mengenai kedudukan pasukan berstatus kelab itu yang akan beraksi di dalam Liga Super. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sufi selamat bergelar suami Nurulain

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia