suria

Piala Malaysia Diarak Sekitar Seremban

SEREMBAN: Sekalipun cuaca hujan, namun ia tidak menjejaskan orang ramai terutama peminat bola sepak di Negeri Sembilan untuk bergembira meraikan kejayaan skuad Rusa yang menjuarai Piala Malaysia musim ini dalam satu program perarakan piala itu di sekitar Seremban, petang ini.

Perarakan menggunakan bas tanpa bumbung yang dinaiki pegawai pasukan dan pemain bersama piala berprestij itu bermula kira-kira pukul 3 petang di Dataran Senawang menuju ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Ampangan, Sikamat, Rasah dan berakhir di City Park Seremban 2.

Semua pegawai pasukan termasuk jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dan pemain kecuali pemain kembar, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak serta S. Kunalan yang tidak dapat menyertai program itu kerana menyertai persiapan skuad kebangsaan menjelang Sukan Sea.

Konvoi itu diiringi kira-kira 50 motosikal berkuasa besar dan lebih 50 kenderaan yang dinaiki peminat setia sambil mengibar bendera negeri.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNs) Datuk Ismail Lasim yang turut sama dalam program itu berkata program itu bertujuan untuk merayakan kejayaan pasukan negeri yang melakar sejarah selepas kali terakhir memenangi piala itu 61 tahun lepas, ketika itu dikenali sebagai Piala HMS. Katanya program ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan negeri khususnya PBNS untuk memberi peluang kepada rakyat terutama penyokong dan peminat setia meraikan kejayaan pasukan menjulang Piala Malaysia musim ini.

"Matlamat kita adalah untuk membolehkan rakyat di peringkat akar umbi dapat merayakan bersama di atas kejayaan yang membanggakan ini sekali gus memberi peluang penyokong bertemu pemain Negeri Sembilan secara lebih dekat.

"Ini sekali gus akan dapat menyuntik semangat untuk pasukan terus berusaha mencapai kejayaan pada masa depan dan saya amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan peminat yang selama ini mereka dahagakan kejayaan," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa sambutan berkata program perarakan itu akan diteruskan ke peringkat daerah bermula esok di Rembau, Kuala Pilah (16 November), Tampin (17 November), Jelebu (18 November), Jempol (19 November) dan Port Dickson (20 November). Dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November lepas, Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1. BERNAMA

Artikel Lain