suria

Peninju Malaysia Wesley Wayne Mara Ke Peringkat Akhir Kejohanan Tomoi

LANGKAWI: Peninju Malaysia Wesley Wayne Jaya mengiringi peserta Brazil dan Thailand melayakkan diri ke peringkat akhir Kejohanan Tomoi TM Z1 Dunia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 Disember ini.

Wesley Wayne yang menyertai kategori 67.5 kg, Leo "Amenidom" Momteiro dari Brazil (63.5kg) dan Wutthichai S. Tuptimsakesan dari Thailand (67.5kg) masing-masing meraih kemenangan pada pertarungan separuh akhir di Dewan Pameran Mahsuri Antarabangsa Langkawi, di Padang Matsirat di sini malam Sabtu.

Pengerusi Persatuan Tomoi Kedah, Zahari Ahmad Razali berkata satu lagi tempat ke perlawanan akhir bagi kategori 63.5 kg akan diputuskan oleh Majlis Muay Thai Sedunia dalam tempoh seminggu lagi.

Ini berikutan keputusan kemenangan Abbas Ahmadi dari Iran ke atas Tengku Shahrizal Tengku Abdul Rahman dari Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan separuh akhir dibantah oleh wakil Kuda Merah PDRM, katanya.

Wesley Wayne 27, menunjukkan persembahan cemerlang dan semangat kental untuk menundukkan lawannya Josh Palmer dari Ireland dengan kiraan mata walaupun dibelasah teruk sehingga perlu dibawa dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Langkawi selepas pertarungan lima pusingan itu.

Sementara Wutthichai menewaskan peserta Malaysia Alif Zulkifly dengan pukulan KO dan Leo "Amenidom" mengalahkan Q Eikkasit dari Thailand dengan kiraan mata.

Kejohanan itu berlangsung dalam tiga siri iaitu di Kulim pada 23 dan 24 Oktober, siri kedua di Langkawi pada 13 dan 14 November manakala peringkat akhir akan diadakan di Dewan Badminton Cheras, Kuala Lumpur pada 12 Disember ini.

Sebanyak 16 peninju dari 12 negara termasuk Brazil, Iran, Thailand, Ireland, Jerman dan tuan rumah Malaysia menyertai kejohanan itu yang dianjurkan Persatuan Tomoi Kedah dan Boxx Event manakala penaja utama Telekom Malaysia (TM).

Pemenang peringkat akhir kejohanan akan meraih hadiah wang tunai RM10,000 dan tali pinggang kejohanan. BERNAMA

Artikel Lain