suria

Malaysia Berdepan New Zealand Esok Untuk Tiket Ke Pusingan Akhir

KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan berjaya menewaskan China 3-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan akan berdepan New Zealand esok untuk merebut tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Selepas perlawanan peringkat kumpulan di Invercagill, New Zealand, hari ini, skuad bimbingan jurulatih Tai Beng Hai berada di tempat kedua kumpulan dengan mengumpul 10 mata di belakang New Zealand yang muncul juara kumpulan dengan 15 mata.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan layak untuk ke perlawanan akhir esok setelah kejohanan dilangsungkan secara liga satu pusingan manakala hanya pemenang perlawanan akhir itu akan layak beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di New Delhi, India, dari 28 Februari hingga 13 Mac.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia tewas 2-4 kepada New Zealand.

Pada perlawanan menentang China, Malaysia terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk membuka jaringan melalui Kevinder Singh pada minit ke-37.

Gol itu nyata membakar semangat pemain-pemain Malaysia apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil meledak dengan pukulan kencang dalam kawasan D seminit kemudian.

China pula yang hanya memerlukan keputusan seri, semakin tertekan namun beberapa serangan balas gagal menembusi gawang Malaysia yang dikawal oleh S.Kumar.

Malaysia melalui satu serangan balas berjaya menjaringkan gol pada minit ke-51 setelah Nabil Fiqri Mohd Noor menyudahkan hantaran silang Kevinder Singh untuk kedudukan 3-0.

Terdahulu, Malaysia menewaskan Wales 2-1, menewaskan Scotland 3-2, seri 2-2 dengan Austria dan kalah 2-4 kepada New Zealand.

Malaysia perlu menang ke atas New Zealand esok setelah gagal layak pada edisi 2006 untuk membuktikan skuad hoki kebangsaan masih perlu dihormati di peringkat antarabangsa setelah mengalami kemerosotan sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, New Zealand melengkapkan penguasaan mereka selaku juara kumpulan apabila memenangi semua lima perlawanan yang diharungi termasuk membelasah Austria hari ini dengan jaringan 4-0. BERNAMA

Artikel Lain