suria

Jentera Lotus F1 Racing lulus ujian kemalangan dalaman

KUALA LUMPUR: Pasukan Lotus F1 Racing Malaysia mencatat satu lagi kejayaan memberangsangkan dalam persediaan pasukan itu menjelang penampilan pertama pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Dunia (F1) 2010 selepas lulus ujian impak kemalangan dalaman.

Ujian itu dilakukan ke atas bahagian tepi dan kotak muncung hadapan kereta yang dilakukan bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), kata pasukan itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam ujian kesan impak kotak muncung hadapan kereta itu, majoriti muncung hadapan itu telah mengalami kerosakan namun bahagian garisan putih menegak pada kotak muncung itu yang sememangnya perlu kukuh masih kekal bertahan tanpa terjejas selepas ujian.

Ujian kemalangan rasmi dan mandatori FIA biasanya dilakukan selepas chasis akhir sesebuah kereta F1 itu telah lengkap dipasang.

Hasil daripada ujian dalaman itu melonjak semangat pasukan Lotus F1 Racing untuk meneruskan kerja-kerja pembangunan teknikal pasukan, kata pasukan itu.

Ujian itu juga berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan oleh pasukan sebelum menjalani ujian pra-musim di Litar Sepang Februari depan sebelum membuat penampilan pertama pada perlumbaan pembukaan F1 Dunia 2010 di Bahrain pada Mac.

Pasukan Lotus F1 Racing disahkan oleh FIA menjadi salah sebuah pasukan yang menyertai perlumbaan F1 musim 2010 pada September lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain