suria

Sukan SEA: Skuad bola tampar berguru jurulatih Thailand

KUALA LUMPUR: Biarpun pemergian ke Sukan Sea di Laos Disember ini berdasarkan perbelanjaan sendiri, skuad bola tampar negara tetap serius untuk bersaing dengan mengambil jurulatih dari Thailand bagi menguatkan pasukan.

Penyelaras pasukan Shamsaimon Mohd Sharif berkata jurulatih itu, yang mengemudi Thailand untuk memenangi pingat emas acara bola tampar pada Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur, memulakan tugasnya di sini pada Julai lepas.

"Di bawah tunjuk ajarnya, seramai 18 pelatih skuad kebangsaan ke Laos menunjukkan peningkatan yang ketara," katanya kepada Bernama hari ini.

Menyedari keupayaan pasukan Malaysia ke Laos, Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) melihat penyertaan pasukan negara ke temasya itu lebih kepada mencari pendedahan dan tidak menetapkan sebarang sasaran pingat.

Kali terakhir acara bola tampar menyumbang pingat adalah pada tahun 2001 di Kuala Lumpur dengan memperoleh satu gangsa. Malaysia tidak mengambil bahagian di Vietnam (2003), Filipina (2005) dan Thailand (2007). Shamsaimon berkata faktor utama skuad bola tampar tidak menyertai ketiga edisi itu ialah tiada peruntukan disediakan memandangkan acara itu terletak di bawah kategori B.

Di bawah kategori b, persatuan perlu menanggung sendiri segala perbelanjaan atlet atau pasukan ke sesuatu temasya tersebut tetapi Majlis Olimpik Malaysia akan membayar kembali perbelanjaan itu sekiranya atlet atau pasukan berkenaan meraih pingat emas atau perak.

Shamsaimon, yang turut memantau acara bola tampar pantai, berkata Mava perlu mencari pasangan kebangsaan yang baru untuk Sukan Sea selepas Laos nanti bagi mengisi tempat pemain senior sekarang yang mempunyai komitmen lain.

Bagaimanapun, untuk Sukan Sea di Laos, Malaysia masih menurunkan gandingan Beh Shun Thing dan Luk Teck Hua yang meraih pingat gangsa dari edisi di Korat pada 2007 selain menjuarai Kejohanan Bola Tampar Pantai Indonesia juga pada 2007. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain