suria

T'Team naik gaji pemain 10 peratus tahun depan

KUALA TERENGGANU: Pengurusan pasukan bola sepak T'Team akan menaikkan gaji pemain pasukan itu sebanyak 10 peratus tahun depan berikutan kejayaan mereka menjadi naib juara Liga Perdana musim ini.

Pengurus pasukan Datuk Rahin Mohd Said berkata langkah itu diharap akan menjadi penyuntik semangat pemain-pemain bagi mengharungi cabaran Liga Super tahun depan.

"Kita harap dengan kenaikan gaji itu, pemainpemain akan lebih bersemangat menghadapi pertandingan Liga Super tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis persefahaman pengurusan dan pemain-pemain di sini hari ini.

Rahin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri berkata 90 peratus pemain musim lepas dikekalkan dalam pasukan T'Team tahun depan.

Katanya pemain yang ditamatkan kontrak ialah Khairul Azmi Othman, Syed Ridzuan Syed Abdullah, Muhd Lokman Mat Salleh, Muhd Rizzuan Mohd Tahar dan Md Nadzmeer Hisham Mohd.

Rahin berkata T'Team akan mencari pemain baru untuk mengisi kekosongan itu dalam masa terdekat ini kerana latihan pasukan akan bermula 26 Sept ini.

"Secara jujur saya katakan bahawa ramai pemain-pemain negeri berminat untuk mewakili pasukan kita tahun depan, tetapi kita kena tunggu sehingga pertandingan Piala Malaysia selesai," katanya.

Katanya T'Team memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk menghadapi Liga Malaysia tahun depan iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Rahin juga berkata beliau akan cuba meminta kerajaan negeri membersihkan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak bagi membolehkannya digunakan tahun depan.

"Kalau boleh kita tidak mahu bermain di negeri lain sekiranya pasukan Terengganu dan pasukan T'Team bermain serentak," katanya.

Kini terdapat dua stadium di Terengganu iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Stadium Sultan Mizan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain