suria

Pemain Selangor terima bonus juarai Liga Super

SHAH ALAM: Pemain-pemain dan pegawai pasukan bola sepak Selangor semalam menerima bonus yang dijanjikan kepada mereka sebelum ini kerana menjuarai Liga Super pada tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAs) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan cek bernilai RM456,750 kepada Setiausaha Agung persatuan itu, Hamidin Mohd Amin pada satu majlis berbuka puasa bersama para pemain dan pegawai pasukan, media dan badan-badan bukan kerajaan, di sini.

Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor berkata bentuk pembayaran kepada pemain dan pegawai itu telah dirangka oleh satu jawatan kuasa persatuan yang mengambil kira sumbangan dan prestasi setiap pemain dan pegawai dalam meraih kejuaraan Liga Super kali ini.

"Kita berharap ini adalah sumbangan untuk memberikan rangsangan kepada mereka dan ini kita telah janjikan," katanya.

Ditanya sama ada ganjaran lebih besar menanti pasukan itu jika mereka menjulang Piala Malaysia tahun ini, Abdul Khalid berkata beliau akan melihat cadangan itu.

Abdul Khalid juga berharap para penyokong akan terus menyokong pasukan Selangor kerana ini bukan sahaja meningkatkan kemajuan sukan di negeri itu bahkan negara.

Beliau berkata antara pesanan yang diberikan kepada para pemain ialah supaya mereka menitik beratkan tahap kecergasan masing-masing kerana ia antara faktor penting yang membawa kemenangan untuk pasukan itu.

Abdul Khalid turut mengingatkan barisan pemain Selangor bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga peminat bola sepak pasukan itu sentiasa memantau keupayaan dan kebolehan pemain-pemain Selangor.

"Ini adalah satu permintaan baginda Sultan supaya pemainpemain kita menunjukkan permainan yang terbaik dalam pertandingan Piala Malaysia kali ini," katanya.

Katanya pasukan Selangor akan mengadakan persahabatan dengan pasukan Singapura di republik itu pada 4 Oktober ini.

Sebelum itu, Abdul Khalid melancarkan program kembara amal, Jejak Amal ala "Amazing Race" di seluruh Selangor yang akan berlangsung pada 21 November ini.

Program itu bertujuan mengumpul dana Pertubuhan Kebajikan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIs) untuk disalurkan kepada rumahrumah kebajikan dan projek amal yang telah dikenal pasti oleh pertubuhan itu.

Jejak amal itu terbuka kepada penyertaan 50 buah kereta dengan yuran pendaftaran RM1,000 bagi setiap kenderaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain