suria

KL'09: Skuad renang kutip 4 emas pada hari terakhir

KUALA LUMPUR: Skuad renang menyumbang empat lagi pingat emas buat kontinjen Malaysia pada hari terakhir temasya Sukan Para Asean kelima (KL'09) di sini, hari ini.

Pingat emas diperolehi menerusi Zul Amirul Sidi Abdullah (100m kuak lentang lelaki S5), Yusup Dewa (50m gaya bebas lelaki S6), David Kangyu Kulek (50m gaya bebas S8) dan kuartet 4x50m gaya bebas ID.

Selain itu, Malaysia turut meraih empat pingat perak dan tiga gangsa hari ini. Selepas empat hari bertarung sejak Ahad lepas, skuad renang negara secara keseluruhan menyumbang 18 pingat emas, 19 perak dan 11 gangsa.

Ketua jurulatih skuad renang paralimpik negara, May Ang berkata pencapaian perenang negara secara keseluruhan memang di luar dugaan memandangkan kebanyakan perenang menyertai acara bukan pilihan masing-masing berikutan masalah teknikal.

"Mereka berjaya meraih pingat melebihi sasaran yang kita tetapkan. Hari ini kita tambah lagi empat pingat emas menjadikan jumlah keseluruhan 18 pingat emas. Memang saya tidak menjangka dengan kemenangan ini," katanya kepada Bernama.

Katanya kebanyakan perenang terpaksa menyertai acara yang bukan menjadi kegemaran masingmasing tetapi berjaya melakukan kejutan dengan meraih emas selain mencatat rekod kejohanan yang baru.

Untuk rekod, skuad renang negara berjaya meraih 22 pingat emas pada temasya Sukan Para Asean keempat di Korat tahun lepas. Menurut Ang, temasya kali ini juga memberi pendedahan kepada atlet remaja yang akan membawa cabaran negara pada temasya Sukan Paralimpik Belia Asia di Jepun November depan.

"Kebanyakan perenang berjaya memperbaiki catatan masa peribadi masingmasing dan penyertaan mereka dalam Sukan Para Asean adalah satu pendedahan yang baik untuk membentuk barisan perenang baru negara," katanya.

Katanya seramai enam atau tujuh perenang remaja akan membawa cabaran Malaysia pada temasya yang julung kali diadakan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain