suria

KL'09: Malaysia lepasi sasaran selepas kutip 94 pingat emas

KUALA LUMPUR: Malaysia melepasi sasaran 82 pingat emas selepas mengutip 94 emas, 81 perak dan 71 gangsa untuk menduduki tangga kedua kutipan pingat pada Sukan Para Asean kelima (KL'09) yang berlangsung sejak Sabtu lepas dan berakhir hari ini.

Selain mengatasi sasaran 82 pingat emas, Malaysia turut menepati sasaran untuk mengekalkan tempat kedua keseluruhan sebagaimana edisi di Korat, Thailand tahun lepas.

Juara bertahan Thailand mengekalkan kedudukan sebagai juara edisi KL'09 selepas merangkul 157 emas, 75 perak dan 57 gangsa sementara Vietnam menduduki tangga ketiga dengan kutipan 73, 57, 45.

Kutipan 94 pingat emas pada KL'09 mengatasi pencapaian 81 pingat emas Malaysia pada edisi di Korat.

Bagaimanapun edisi KL'09 hanya menawarkan 936 pingat emas daripada 11 acara berbanding 1,049 emas daripada 14 acara pada edisi di Korat.

Acara yang dipertandingkan pada KL'09 ialah olahraga, badminton, tenpin boling, catur, powerlifting, pelayaran, renang, pingpong, bola tampar duduk, bola keranjang berkerusi roda dan tenis berkerusi roda.

Kutipan 94 emas Malaysia datangnya daripada olahraga (39), badminton (8), tenpin boling (9), catur (8), powerlifting (3), pelayaran (3), renang (18) dan pingpong (6).

Malaysia gagal meraih sebarang pingat emas dalam tiga acara iaitu bola tampar duduk, bola keranjang berkerusi roda dan tenis berkerusi roda.

Bola tampar duduk hanya menyumbangkan satu gangsa, bola keranjang berkerusi roda (dua perak) dan tenis berkerusi roda (lima gangsa).

Malaysia turut menguasai empat daripada 11 acara yang dipertandingkan dalam KL'09 dengan acara badminton mengumpul lapan daripada 21 pingat emas yang ditawarkan, tenpin boling (sembilan daripada 10), catur (lapan daripada 20) dan pelayaran (tiga daripada empat) manakala acara-acara lain dikuasai oleh Thailand.

Daripada lima edisi Sukan Para Asean sejak mula diperkenalkan di Kuala Lumpur pada 2001, Malaysia hanya sekali muncul juara keseluruhan iaitu pada edisi pertama tersebut dengan mengutip 132 pingat emas, 126 perak dan 87 gangsa.

Pada edisi kedua di Ho Chi Minh City di Vietnam pada 2003, Malaysia menduduki tangga ketiga selepas mengutip 56 emas, 41 perak dan 45 gangsa.

Di Manila, Filipina pada 2005, Malaysia mengumpul 75 emas, 40 perak dan 26 gangsa untuk menduduki tangga ketiga jumlah pungutan pingat sementara di Korat, Thailand pada 2008, Malaysia muncul naib juara dengan merangkul 81 emas, 74 perak dan 46 gangsa.

Sebanyak 10 negara Asean iaitu Malaysia, Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja, Laos dam Filipina mengambil bahagian pada KL'09.

Timor Leste yang turut diundang mengambil bahagian tidak dapat berbuat demikian kerana masalah kewangan.

Edisi keenam Sukan Para Asean akan datang dijadualkan berlangsung di dua venue di Indonesia iaitu di Bandung dan Semarang pada 2011. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain