suria

Cabaran getir buat ping pong paralimpik negara raih 5 emas di KL'09

KUALA LUMPUR: Pasukan ping pong paralimpik negara menetapkan sasaran untuk merangkul lebih daripada lima pingat emas pada Sukan Para Asean kelima (KL'09) ini.

Pengurus pasukan Samsul Azhar Md Yusuf berkata pasukan negara menyandarkan harapan untuk meraih pingat itu di bahu Ting Ing Hock, Koh Zhi Liang, Hong Chin Sing dan Engku Ali Engku Ngah; yang merupakan empat pemain yang berjaya meraih lima pingat emas pada Sukan Para Asean sebelum ini, di Korat, Thailand.

"Kami cuba mengekalkan jumlah pingat sama seperti sebelum ini, tapi pastinya kami mengharapkan yang lebih baik di KL'09 ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Acara ping pong paralimpik akan berlangsung di Arena Tertutup Majlis Olimpik Malaysia esok, dengan Malaysia menurunkan 16 pemain, enam untuk ping pong berkerusi roda dan lapan berdiri.

Samsul Azhar berkata Ting merupakan pemain ping pong paralimpik terbaik negara, memandangkan beliau hampir melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Beijing di China tahun lepas, namun terlepas peluang apabila pemain tuan rumah dipilih untuk mara menerusi 'wild card'.

"Bagaimanapun beliau kembali menyinar di Korat dengan aksi cemerlang, dan menyumbang dua dari lima pingat emas buat Malaysia," katanya.

Beliau berkata Malaysia akan berhadapan dengan cabaran cukup getir dari Vietnam dan Thailand memandangkan kedua-dua negara pernah mempamerkan kehandalan mereka di Sukan Para Korat pada 2008.

Samsul Azhar berkata Vietnam agak hebat dalam semua acara manakala persembahan Thailand nampak cukup mantap dalam ping pong berkerusi roda.

"Berdasarkan senarai pemain, kedua-dua negara nampaknya menurunkan pemain baru yang lebih muda, dan kami jangka akan menghadapi cabaran getir daripada mereka," katanya.

Sukan ping pong paralimpik menampilkan dua acara iaitu ping pong berkerusi roda dan berdiri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain