suria

Chong Wei, Choong Hann menang, Mew Choo terkeluar

HYDERABAD: Pemain wanita utama negara Wong Mew Choo berhasrat untuk mencapai kejutan pada Kejohanan Badminton Dunia tidak kesampaian apabila tersingkir pada pusingan kedua acara perseorangan wanita di sini semalam.

Mew Choo memulakan cabaran dengan langkah kanan apabila mengatasi pemain Jepun Al Goto 21-18 pada set pertama tetapi gagal menandangi rentak agresif lawan apabila tumpas 12-21 pada set berikutnya.

Bagaimanapun, set penentuan menjadi saingan sengit apabila Mew Choo berjaya menyamakan kedudukan beberapa kali tetapi akhirnya tidak dapat mengekalkan stamina dan menyerah kalah 21-23.

"Saya tidak mempunyai stamina, berasa letih dan hilang tumpuan. Saya tidak dapat bertahan dengan corak permainannya yang melakukan pukulan rali sehingga saya melakukan kesilapan untuk memungut mata penting," kata Mew Choo selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, Datuk Lee Chong Wei dengan mudah mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain Nigeria Ola Fagbemi 21-11, 21-14 manakala pemain veteran Wong Choong Hann menumpaskan Raul Must dari Estonia 21-12, 7-21, 21-16.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan negara Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari membuka saingan dengan menewaskan beregu Jepun Yoshiteru Hirobe/Hajime Komiyama 21-14, 23-21. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain