suria

Badminton dunia: England tarik diri atas faktor keselamatan

HYDERABAD: England telah menarik diri daripada Kejohanan Badminton Dunia, yang bermula di sini esok, atas faktor keselamatan.

"Oleh kerana ancaman keselamatan, England menarik diri kesemua lapan pemain yang berlepas pulang pagi ini. Perancis juga bercadang untuk mengikut jejak pasukan Inggeris itu," kata seorang pegawai kanan jawatankuasa penganjur hari ini.

Akhbar 'Times of India' dalam laporan muka surat depan memetik Biro Perisikan India sebagai berkata kejohanan itu menghadapi ancaman keselamatan serius dari kumpulan pelampau Lashkare-Taiba.

Langkah keselamatan di sekitar stadium diperketatkan manakala polis dan pegawai kejohanan sering kali menjelaskan bahawa tiada ancamam keselamatan seperti dilaporkan itu.

Bagaimanapun, beberapa pasukan tidak mengambil mudah laporan akhbar itu khususnya selepas insiden pasukan kriket kebangsaan Sri Lanka diserang hendap oleh sekumpulan bersenjata di Lahore, Pakistan, Mac lepas.

Dalam kejadian itu, beberapa pemain yang menaiki bas untuk mengikuti latihan di sebuah stadium mengalami kecederaan.

Pada 2007, Kejohanan Badminton Terbuka India di sini terpaksa ditangguhkan selepas tiga kejadian letupan bom di mana 30 orang terkorban.

Kejohanan itu kemudian diadakan pada tahun berikutnya.

Dalam pada itu, Persekutuan Badminton Dunia dalam kenyataan berkata polis bandaraya Hyderabad menafikan laporan akhbar itu dan venue kejohanan, Stadium Tertutup Gachibowli di sini, bukan menjadi sasaran kumpulan pengganas.

Kejohanan berprestij itu disertai kira-kira 330 pemain dari 44 buah negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL KEJOHANAN MINI OLIMPIK

Artikel Lain