suria

Atlet wushu negara mulakan saingan di Sukan Dunia 2009

KUALA LUMPUR: Malaysia meletakkan sandaran kepada empat atlet wushu yang dipilih mewakili negara di temasya Sukan Dunia 2009 yang sedang berlangsung di Kaoshuing, Taiwan.

Pada acara wushu yang membuka gelanggangnya di Stadium Wilayah Kaohsiung semalam, sandaran Malaysia diletakkan kepada pemenang pingat emas Kejohanan Wushu Dunia, Chai Fong Ying dan Diana Bong Siong Lin bagi kategori wanita sementara kategori lelaki pula diwakili Lee Yang dan Ho Mun Hua.

Menurut laporan yang dipetik dari laman web rasmi kejohanan itu, www.worldgames.tw , Fong Ying menamatkan saingan hari ini di kedudukan keempat selepas disiplin Taijiquan wanita dengan 9.60 mata di belakang pendahulu, Cui Wenjuan dari China yang mengutip 9.89 mata.

Fong Ying, yang pertama kali mengambil bahagian dalam temasya Sukan Dunia itu, akan meneruskan saingannya dalam acara Taijijian untuk menentukan pingat, hari ini.

Seperti juga Fong Ying, Diana Bong, Lee Yang dan Mun Hua turut menerima nasib yang sama apabila masingmasing menamatkan saingan selepas satu disiplin di kedudukan keempat.

Menurut laporan itu lagi pada saingan Nanquan wanita, Diana Bong terpaksa berpuas hati dengan 8.92 mata, tiga anak tangga di belakang pendahulu, Lin Fan dari China dengan 9.87 mata.

Dalam kategori lelaki, Lee Yang meraih 9.75 mata melalui disiplin Taijiquan dan Mun Hua pula meraih 9.61 mata dalam acara Nanquan.

Esok, kesemua mereka akan meneruskan saingan dengan satu lagi disiplin dalam acara masing-masing. BERNAMA

Artikel Lain