suria

Bola keranjang: Piala Agong ke-51 ditukar ke Nilai

KUALA LUMPUR: Venue Kejohanan Bola Keranjang Piala Agong ke51 di Kompleks Sukan Negeri di Paroi, Seremban, bulan depan, kini diubah ke Stadium Tertutup Nilai bagi mengurangkan kos penganjuran.

Walaupun pihak penganjur masih kekurangan RM200,000 bagi menjayakan kejohanan tahunan itu namum Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tioh Fook Men memberi jaminan bahawa kejohanan itu akan tetap diteruskan.

Pada undian yang dijalankan semalam, pasukan lelaki tuan rumah, Negeri Sembilan mempunyai peluang cerah untuk layak ke pusingan kedua walaupun diundi dalam Kumpulan A bersama Pahang dan juara bertahan Melaka.

Sementara naib juara, Perak diundi dalam Kumpulan B bersama Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala Kumpulan C diwakii Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Perlis.

Kumpulan D pula diwakili Kedah, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sabah.

Kejohanan itu akan berlangsung dari 22 hingga 30 Ogos ini

Kejohanan kali juga menyaksikan pasukan Kelantan, ATM dan Sabah buat pertama kali menghantar pasukan wanitanya di kejohanan kali ini.

Pada undian kategori wanita, juara bertahan Johor mengetuai Sarawak dan Sabah dalam Kumpulan A, sementara naib juara Kuala Lumpur pula diletakkan dalam Kumpulan B bersama Pulau Pinang dan ATM.

Sementara Melaka, Selangor dan Kedah diundi dalam Kumpulan C.

Bagi pasukan wanita tuan rumah, mereka dijangka berdepan cabaran getir menentang pasukan lain dalam Kumpulan D iaitu Perak, Pahang, dan Kelantan.

"Walaupun pasukan Kelantan pertama kali bertanding pada kejohanan ini, tentangan hebat seharusnya datang dari mereka yang bakal menampilkan bekas pemain negara," kata jurulatih wanita Negeri Sembilan, Chen Nyuk Meng.

Kejohanan itu bakal menyaksikan 15 pasukan lelaki dan 13 pasukan wanita bertanding bagi merebut hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi.

Selain itu, eksekutif hubungan korporat Petronas, Farrah Azwin Mokhtar pula memberitahu pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan Persatuan Bola Keranjang Malaysia mengenai tajaan Petronas yang bakal berakhir tahun ini. BERNAMA

Artikel Lain