suria

Aktiviti sukan menembak di Lisram mampu gamit pelancong

LANGKAWI: Cadangan menjadikan Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram) sebagai tarikan baru pelancong ke pulau lagenda ini bakal direalisasikan selepas kertas cadangan mengenai perkara tersebut siap tidak lama lagi.

Pengurus Lisram Mohd Nor Arshad berkata cadangan membuka lapangan sasar tersebut kepada pelancong yang gemar aktiviti sukan menembak akan diserahkan kepada pengendali Lisram iaitu Kementerian Dalam Negeri.

"Cuma ketika ini, jadual di Lisram amat padat dengan pelbagai aktiviti latihan dan pertandingan menembak yang dijalankan oleh pelbagai pihak berkuasa," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Mohd Nor ditanya mengenai cadangan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang di dalam blognya barubaru ini mahu Lisram dibuka kepada pelancong asing yang berminat dengan sukan menembak.

Tun Mahathir berkata ramai di antara 2.3 juta pelancong yang berkunjung ke Langkawi setiap tahun berminat dengan sukan menembak dan Lisram sepatutnya dibuka untuk aktiviti tersebut.

Mohd Nor berkata antara agensi penguatkuasa yang menggunakan Lisram ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Jurulatih menembak kebangsaan, Hashim Desa yang mengendalikan latihan menembak bagi skuad kebangsaan ke Sukan SEA di Lisram berkata cadangan Tun Mahathir itu mampu menambah jumlah pelancong asing ke pulau itu.

Beberapa pasukan luar, seperti Austria, pernah menjalani latihan di Lisram sebelum berlepas ke sukan Olimpik di Beijing, China pada tahun lepas, katanya. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Menembak Langkawi (Pembela) Datuk Mansor Ismail mencadangkan supaya beberapa syarat penggunaan Lisram dapat dilonggarkan bagi membolehkan aktiviti menembak untuk pelancong dapat dilaksanakan.

Beliau juga berkata Pembela akan menganjurkan kejohanan menembak pada 6 dan 7 Ogos depan, sempena Hari Kemerdekaan di Lisram.

Lisram dibina di atas tanah seluas lebih 202 hektar dengan harga RM80 juta dan siap pada tahun 1997 dan pernah menjadi gelanggang beberapa kejohanan menembak antarabangsa termasuk Sukan Komanwel 1989.

Ia antara lapang sasar terbaik di Asia Tenggara dengan sistem pemarkahan elektronik dan menjadi venue latihan skuad kebangsaan dalam persiapan ke Sukan SEA, kejohanan dunia serta Sukan Olimpik.

Antara kemudahan sukan menembak yang ada di situ ialah untuk acara Pistol, Rifle dan Full Bore Rifle. Lapang sasar Full Bore Rifle dengan jarak 1,000 ela merupakan satusatu yang terdapat di rantau ini. Ketika ini, skuad kebangsaan bagi cara tersebut menjalani latihan di situ sebagai persiapan ke Sukan Komanwel di India pada 2010. BERNAMA

Artikel Lain