suria

Atlet kebangsaan Mohd. Zabidi juarai 100 meter Terbuka Melaka

MELAKA: Atlet kebangsaan Mohd Zabidi Ghazali menjuarai acara 100 meter pada hari terakhir Kejohanan Terbuka Olahraga Melaka ke45 di Stadium Hang Jebat di sini semalam.

Mohd Zabidi, juara Sukan Malaysia (Sukma) lepas di Terengganu yang mewakili Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mencatat masa 10.84 saat menewaskan atlet pelapis kebangsaan, Mohd Idris Zakaria di tempat kedua dengan catatan 10.90 saat.

Seorang lagi atlet, Mohd Latif Nyat menduduki tempat ketiga dengan masa 11.08 saat.

Mohd Idris, 21, yang berasal dari Kemaman, Terengganu, semalam menjuarai acara 200 meter dengan catatan masa 21.90 saat mengatasi rekod kejohanan 22.50 saat.

Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim ketika ditemui pemberita semalam berkata Idris merupakan atlet paling berpotensi untuk menyerlah bagi acara 400 meter, yang tidak disenaraikan di kejohanan ini. Tiada rekod kebangsaan dilakukan semalam setelah pencapaian cemerlang atlet pelatih kebangsaan Melinder Kaur dari Pulau Pinang yang mencatatkan rekod baru kebangsaan bagi acara 3,000 meter berhalangan dengan catatan masa 11:11.05 saat, kelmarin.

Bagaimanapun Aseinny Asik yang mewakili KOAM melakukan rekod baru kejohanan bagi acara lontar peluru wanita dengan catatan terbaik beliau musim ini pada jarak 13.44 meter mengatasi rekod kejohanan pada jarak 9.85 meter.

Turut cemerlang, Tan Song Hwa yang melakukan rekod baru kejohanan bagi acara baling tukul besi wanita dengan lontaran sejauh 52.93 meter.

Tan yang berasal dari Pahang dan pemegang rekod kebangsaan pada jarak 55.67 meter yang dilakukan beliau pada tahun lepas, telah melayakkan diri bertanding bagi acara itu di Sukan Sea Laos, Disember ini.

Seramai 478 atlet dari 30 pasukan bertanding pada kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Amatur Melaka (POAM) termasuk dua negara luar iaitu Arab Saudi dan Oman. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain