suria

Siti Amirah terasa tekanan menjelang CWC

PETALING JAYA: Tekanan kini semakin dirasai oleh pemain boling negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, yang bakal beraksi buat pertama kali pada Kejohanan Wanita Dunia (WWC) di Las Vegas dari 25 Julai hingga 3 Ogos ini.

"Tekanan itu memang ada sedikit sebab ramai pihak mahu kami mempertahankan kejuaraan di dalam acara lima berpasukan yang dimenangi dua tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ini adalah penampilan pertama pemain berusia 18 tahun itu di WWC setelah disenaraikan oleh Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) bersama-sama rakanrakan senior, Esther Cheah, Sharon Koh, Shalin Zulkifli, Wendy Chai dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi.

Siti Safiyah, juara wanita Kejohanan Boling Ranking Masters Dunia pada Mei lepas, berkata beliau yakin akan bersedia sepenuhnya terutama daripada segi mental menjelang kejohanan itu.

Pada kejohanan dua tahun lepas di Mexico, Shalin, Esther, Zandra Aziela, Wendy dan Sharon yang melakukan 6,323 jatuhan pin telah mengatasi Amerika Syarikat dengan tujuh pin untuk muncul juara. Siti Safiyah berkata kejayaan di Terbuka Singapura dengan menduduki tempat kedua acara Masters wanita awal bulan ini sedikit sebanyak memberinya keyakinan.

"Secara individu, saya sedang meningkatkan tahap konsistensi dan ketepatan dalam balingan kerana ia merupakan satu aspek yang amat penting di dalam kejohanan besar seperti ini," katanya.

Di sebalik tumpuan yang diberikan dalam acara lima berpasukan, beliau juga berazam untuk memberikan persembahan terbaik dalam acaraacara lain yang mungkin disertainya seperti beregu, trio dan perseorangan.

Setiausaha Agung MTBC Sidney Tung berkata persatuan itu memang mengharapkan kejayaan dalam acara lima berpasukan itu kerana kekuatan pemain-pemain negara adalah seimbang.

"Kejohanan tahun ini merupakan pertama kali pemainpemain profesional dibenarkan bermain sekaligus kita akan menyaksikan cabaran lebih hebat dari Amerika Syarikat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain