suria

'Safe House’ Padat Aksi Tetapi Agak Klise

Babak tegang antara perisik baru, Matt Weston (Ryan Reynolds, kiri) dan bekas perisik, Tobin Frost (Denzel Washington) dalam filem Safe House.
Babak tegang antara perisik baru, Matt Weston (Ryan Reynolds, kiri) dan bekas perisik, Tobin Frost (Denzel Washington) dalam filem Safe House.
Babak tegang antara perisik baru, Matt Weston (Ryan Reynolds, kiri) dan bekas perisik, Tobin Frost (Denzel Washington) dalam filem Safe House.

FILEM: Safe House

ARAHAN: Daniel Espinosa

LAKONAN: Ryan Reynolds, Denzel Washington, Vera Farmiga, Brendan Gleeson, Robert Patrick

GENRE: Aksi, ngeri, suspen

DURASI: 1 jam 55 minit

EDARAN: United International Pictures

TAYANGAN: Bermula 9 Februari 2012

FILEM aksi terbaru, Safe House boleh dianggap sebagai percaturan bijak kerana mempertaruhkan dua bintang besar Hollywood iaitu Denzel Washington dan Ryan Reynolds.

Ini kerana, jika dinilai pada atas kertas, gabungan dua nama ini kelihatan mampu menjanjikan sebuah filem yang baik atau paling kurang, ia mampu membangkitkan keterujaan kepada penonton.

Ternyata, formula itu dilihat berkesan dalam filem arahan Daniel Espinosa ini. Ia sekali gus meletakkan Safe House pada gred pertengahan dan selamat.

Walaupun plot filem ini dibina daripada cetusan idea yang klise dan ringkas iaitu mengenai kisah seorang perisik baru Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang cuba membantu seorang bekas perisik melepasi ancaman bunuh pihak jahat, kekurangan itu saya kira sudah diimbangi dengan baik oleh beberapa aspek lain termasuklah lakonan dan debaran aksi yang mengikat tumpuan.

Penterjemahan Washington selaku bekas perisik bernama Tobin Frost yang dipenjarakan kerana kesalahan menjual maklumat sulit meyakinkan dan tidak perlu dipertikaikan.

Mungkin kerana plot filem ini yang biasa dan ringkas buatnya ini lantas menjadikan lakonan bintang itu terlalu bersahaja dan tidak menuntut penjiwaan yang luar biasa daripada bintang berpengalaman itu.

Sementara bagi Ryan Reynolds pula, lakonannya pada kali ini jauh lebih baik daripada filem Green Lantern yang menggoyahkan reputasinya sebelum ini.

Reynolds yang menggalas peranan agen baru CIA bernama Matt Weston telah membuahkan lakonan yang memberangsangkan.

Gestur dan penghayatannya sebagai seorang agen tampak semula jadi dan berhak dipuji.

Tidak hanya mereka berdua, malah pelakon-pelakon pembantu lain termasuk Vera Farmiga, Brendan Gleeson dan Robert Patrick mengukuhkan lagi aspek lakonan dalam filem ini.

Malangnya, kualiti lakonan dan kerancakan naratif Safe House seperti dicemari kekangan dalam elemen teknikal khususnya sinematografi yang lemah.

Entah mengapa, rakaman filem ini dilihat kurang memuaskan, seolah-olah dihasilkan oleh sekumpulan krew filem amatur.

Keterujaan aksi dan babak kejar-mengejar filem ini bagai terganggu dengan syot dan pergerakan kamera yang bergoyang, kabur dan tidak lancar pada kebanyakan waktu.

Mungkin juga pengarahnya ingin menjalankan eksperimen dengan syot dan sinematografi mengikut gayanya tersendiri.

Dan jika memang itu matlamatnya, ia mungkin satu pilihan yang salah dan tidak berkesan kerana hasilnya sukar difahami dan kurang bersesuaian dengan mode filem ini secara holistik.

Bagaimanapun, untuk peminat dua hero ini dan penggemar filem aksi, Safe House mampu menawarkan nilai itu dengan perjalanan filem yang ringkas dan mudah difahami.

Filem yang menelan kos penerbitan sebanyak RM243 juta (AS$80 juta) ini memaparkan usaha seorang agen baru CIA, Matt Weston lakonan Ryan Reynolds yang cuba menyelamatkan diri bersama bekas perisik Tobin Frost (Denzel Washington) selepas mendapat ancaman bunuh daripada pihak yang tidak dikenali.

Terdahulu, Frost yang juga bekas perisik CIA telah dituduh atas kesalahan menjual maklumat sulit kerajaan Amerika Syarikat kepada pihak luar sehingga memaksa dia melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah perlindungan di Afrika Selatan.

Berjayakah mereka menyelamatkan diri daripada menjadi buruan pihak tersebut dan dapatkah mereka membuktikan bahawa mereka tidak bersalah? Jawapannya akan terungkai dalam Safe House.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain