suria

Donnie Yen Serlahkan 'The Lost Bladesman'

Donnie Yen cemerlang menjayakan watak Guan Yu dalam filem The Lost Bladesman.
Donnie Yen cemerlang menjayakan watak Guan Yu dalam filem The Lost Bladesman.
Donnie Yen cemerlang menjayakan watak Guan Yu dalam filem The Lost Bladesman.

KREDIBILITI aktor Hong Kong, Donnie Yen sebagai bintang filem aksi tidak perlu diperkenalkan lagi.

Kejituan gerak tubuh, mimik muka dan lontaran dialog aktor berusia 47 tahun ini dalam filem-filem seni mempertahankan diri memang utuh.

Jika sebelum ini, peminat filem seni mempertahankan diri, aksi dan epik memperakui karismanya dalam filem-filem seperti Hero (2003), Flash Point (2007) dan Ip Man (2008), Yen menguatkan lagi cengkamannya dalam genre itu menerusi filem terbaru, The Lost Bladesman (TLB).

Mendukung watak Jeneral Guan Yu di era Dinasti Han, persembahan Yen sebagai seorang pejuang nampak menonjol dan meyakinkan.

Melengkapkan lagi penguasaannya dalam seni mempertahankan diri, Yen turut mencuri tumpuan apabila bermain dengan pedang dan penterjemahan air muka yang tenang, hambar dan misteri itu.

Aktor dan pengarah Jiang Wen yang memainkan watak Cao Cao juga memukau dengan lakonan bersahaja.

Ketegasannya menerusi riak wajah yang misteri dan mendalam begitu meyakinkan.

Visual filem ini juga secara keseluruhannya begitu indah. Rekaan set yang melatari perjalanan TLB mengagumkan, malah hasilnya jauh lebih baik daripada kebanyakan filem buatan Hong Kong atau Taiwan.

Selain itu, busana dan peralatan yang diketengahkan juga menyerlah dan bersesuaian dengan era kerajaan Cina kuno.

Jelas sekali, gabungan Alan Mak dan Felix Chong di kerusi pengarahan dan skrip filem ini memang menjadi. Selepas kejayaan Internal Affairs (2002), Mak-Chong mengukuhkan profil mereka dengan keberkesanan TLB.

Bagi yang meminati filem aksi dan epik sebegini, TLB adalah produk yang wajib ditonton.

Mungkin akan timbul keraguan terhadap keaslian biografi Guan Yu, tetapi pengarahan Mak-Chong berjaya menghasilkan sebuah filem epik yang terpuji, kemas dan menghiburkan.

TLB mengangkat kisah hidup Guan Yu lakonan Donnie Yen, salah seorang jeneral tentera yang terbilang di penghujung era pemerintahan Dinasti Han.

Selepas kerajaan Liu Bei (Alex Fong) ditewaskan oleh tentera Perdana Menteri Cao Cao (Jiang Wen), dua isteri Liu Bei, gundik masa depan, ahli keluarga dan Guan Yu menjadi mangsa tawanan Cao Cao.

Cao Cao yang kagum dengan kehebatan Guan Yu bercadang untuk menjadikan pejuang itu sebagai ketua tenteranya tetapi kesetiaan Guan Yu hanyalah pada Liu Bei.

Cao Cao yang mengetahui Guan Yu menaruh perasaan terhadap Qi Lan (Betty Sun) mula memasang perangkap untuk membuktikan penderhakaan jeneral itu terhadap Liu Bei.

Guan dan Qi Lan berjaya melarikan diri tetapi mereka berdepan cabaran lebih besar untuk menemui Liu Bei.

FILEM: The Lost Bladesman ARAHAN: Alan Mak, Felix Chong LAKONAN: Donnie Yen, Alex Fong Chung-Sun, Chin Siu Ho, Betty Sun GENRE: Aksi, drama, sejarah, biografi DURASI: 1 jam 49 minit EDARAN: RAM Entertainment TAYANGAN: Bermula 28 April 2011

Artikel Lain