suria

'127 Hours' Suntik Motivasi

James Franco sebagai Aron Ralston dalam filem 127 Hours.
James Franco sebagai Aron Ralston dalam filem 127 Hours.
James Franco sebagai Aron Ralston dalam filem 127 Hours.

BOLEH dikira dengan jari berapa banyak sangat filem biografi yang mampu dihasilkan dengan indah, mengasyikkan dan berkesan?

Secara rawaknya, majoriti filem sebegini pasti tidak dapat lari daripada belenggu kebosanan yang mendatarkan momentum penceritaannya.

Berlainan pula resamnya kali ini dengan sentuhan Pengarah Filem Terbaik Anugerah Akademi ke-82 iaitu Danny Boyle menerusi filem 127 Hours.

Memang benar, filem ini hanya mengupas kisah watak tunggal iaitu Aron Ralston (lakonan James Franco) dan terbatas dalam landskap yang cukup sempit dan kecil iaitu konflik yang dihadapi Ralston di celah kanyon (cerun curam).

Bukan satu tugas mudah pun untuk mengangkat plot yang bertopangkan satu watak utama sahaja menjadi sebuah filem berkesan. Ironinya, graf perjalanan filem kelapan pengarah berbangsa Inggeris ini dilihat memuncak di sebalik keterbatasan itu.

Banyak mesej positif yang disulam kemas sepanjang durasi filem ini. Secara dasarnya, 127 Hours adalah sebuah filem yang penuh motivasi.

Aspek positif seperti jangan mudah berputus asa, kecekalan dan keberanian menyaluti kronologi hidup Ralston yang mampu menyuntik motivasi.

Menariknya, aspek ini diserapkan kepada penonton dalam bentuk hiburan yang penuh warna, rasa dan dramatik.

Yang jelas, kekuatan itu tersandar pada garapan Boyle yang bijak membentuk 127 Hours.

Jika naskhah sebegini diuruskan oleh sembarangan pengarah, mungkin filem ini berkesudahan menjadi dokumentari yang perlahan, hambar dan kurang rasa.

Berdiri sebagai bintang utama, kredibiliti Franco menterjemahkan watak Ralston memang meyakinkan.

Pemahaman dan penjiwaan pelakon watak antagonis filem Spiderman ini terhadap Ralston tampak realistik sehingga mampu mengundang simpati, tekanan dan emosi kepada penonton.

Lebih memikat lagi, Franco cekap menerajui watak itu biarpun hanya berdiri selaku pemain tunggal yang juga nyawa 127 Hours.

Justeru, sanjungan selayaknya diberikan kepada Boyle kerana garapan berkesan dan kemampuan Franco memaparkan Ralston dengan efektif.

127 Hours diinspirasikan daripada kisah benar seorang pendaki warga Amerika Syarikat (AS) iaitu Aron Ralston yang cekal dan berani mengatasi detik tergenting dalam hidupnya.

Kisah bermula apabila Ralston, seorang pemuda yang obses terhadap aktiviti lasak serta pendakian gunung dan kanyon, berdepan kecelakaan ketika mendaki kanyon Blue John di Utah, AS.

Lengan kanannya dihempap batu tongkol dan tersekat sehingga menyebabkan dia tidak boleh bergerak dan terperangkap di celah kanyon itu.

Paparan dilema, kecekalan dan keberanian Ralston dalam usaha untuk meloloskan diri selepas lima hari tersekat di celah kanyon tersebut menjanjikan sebuah kisah dramatik yang cukup menarik.

Mungkin segelintir penonton tidak mampu berkompromi dengan rentak 127 Hours yang perlahan, terbatas dan sarat dengan dialog.

Bagaimanapun, perkara itu diwarnai dengan indah menerusi babak-babak ketika Ralston berhalusinasi, mengimbas semula kenangan lama serta berdepan dilema dan ketakutan ketika nyawanya berada di hujung tanduk.

Melengkapkan lagi hidangan 127 Hours, filem ini diperkemas pula dengan syot berkesan, panorama memukau mata, suntingan yang rapi serta alunan muzik latar A.R. Rahman yang menghidupkan suasana.

FILEM: 127 Hours ARAHAN: Danny Boyle LAKONAN: James Franco, Lizzy Caplan, Amber Tamblyn dan Kate Mara GENRE: Drama DURASI: 1 jam 45 minit EDARAN: 20th Century Fox TAYANGAN: 3 Mac 2011

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain