suria

'I Am Number Four' Hanya Gah Pada Efek & Aksi

Hero baru Hollywood, Alex Pettyfer sebagai John Smith/Number Four dalam filem I Am Number Four.
Hero baru Hollywood, Alex Pettyfer sebagai John Smith/Number Four dalam filem I Am Number Four.
Hero baru Hollywood, Alex Pettyfer sebagai John Smith/Number Four dalam filem I Am Number Four.

DUA aspek yang mengagumkan tentang I Am Number Four (IANF) adalah paparan aksi dan teknik imej penjanaan berkomputer (CGI) yang menyaluti kemas babak demi babak.

Penelitian yang dicurahkan terhadap kesan khas dan audio filem arahan D.J. Caruso ini cukup mengujakan sehingga tampak realistik.

Bagai melengkapkan lagi pakej filem ini, perjalanan IANF dipacu deras oleh barisan bintang muda yang segar dan bertenaga.

Nama-nama seperti Alex Pettyfer, Dianna Agron, Teresa Palmer dan Callan McAuliffe mungkin masih asing bagi segelintir penonton, namun persembahan mereka berada pada tahap yang baik.

Sekalipun tidak mencapai merit cemerlang dan memukau, aksi mereka tetap meyakinkan dan seiring dengan kepantasan filem ini.

Sebagai pelakon utama, pesona Pettyfer tidak menonjol pada lakonannya. Sebaliknya, aktor berusia 20 tahun ini lebih menyerlah pada ketampanan dan sisi fizikal yang memang layak bergelar hero.

Apa pun, kekurangan itu mungkin berpunca daripada garapan lemah yang disuntik oleh Caruso terhadap watak John Smith/Number Four itu sendiri.

Justeru, potensi sebenar model berbangsa Inggeris ini secara tidak langsung terbatas untuk melakukan lebih daripada itu.

Yang menarik tentang watak John Smith/Number Four adalah kebolehan luar biasa yang dimilikinya seperti 'telekinesis' iaitu kebolehan untuk bergerak pantas dari satu poin ke poin lain dan 'lumen' iaitu kebolehan menghasilkan cahaya dan haba daripada tapak tangan.

Dek tarikan kuasa itu, pada kebanyakan waktu kita tidak dapat menyangkal bayangan siri televisyen popular seperti Smallville atau Roswell.

Sementara itu, himpunan tiga lagi bintang muda iaitu Dianna Agron (sebagai Sara Hart), Teresa Palmer (Number Six) dan Callan McAuliffe (Sam Goode) juga tidak mengecewakan tetapi tidak meninggalkan impak luar biasa.

Namun, kepentingan watak mereka tidak boleh dinafikan kerana turut berperanan hingga ke titik akhir.

IANF berkisar pada remaja makhluk asing dari planet Lorien iaitu Number Four yang dihantar ke bumi bersama lapan lagi mahkluk asing lain ketika kanak-kanak bagi menyelamatkan diri daripada serangan bangsa Mogadorian.

Di bumi, Number Four menjalani kehidupan seperti manusia biasa dengan menggunakan identiti John Smith.

Tidak berseorangan, John dilindungi oleh penjaga juga mentornya, Henri (Timothy Olyphant) yang diamanahkan untuk melindungi John pada setiap masa.

Aksi dan debaran kian memuncak apabila status dan lokasi John mula dikesan oleh puak Mogadorian. Dalam usaha untuk menyelamatkan diri, John ditemani Sara dan seorang lagi rakan sekolahnya Sam.

Kemunculan seorang lagi makhluk asing iaitu Number Six (Teresa Palmer) menguatkan lagi gandingan mereka dalam memerangi serangan Mogodorian.

Jika disukat pada plot filem ini, cerita mahkluk asing yang menumpang di muka bumi, menyamar sebagai manusia dengan identiti palsu dan berdepan kuasa jahat, bukanlah satu wadah baru.

Bagaimanapun, kebijaksanaan tenaga produksi yang dicetuskan oleh pengarah dan penerbit filem terkenal Michael Bay memanipulasi elemen aksi, emosi dan kesan khas menjadikan IANF tampak gah dan mengghairahkan daripada realiti sebenar.

Agak meralatkan juga apabila Bay tidak dapat mengemudi projek filem ini kerana sudah terikat dengan sekuel Transformers: Dark of the Moon ketika IANF memulakan produksi.

Jika filem ini mendapat sentuhan Bay, mungkin kepincangan pada garapan dan skrip IANF mampu dipertingkatkan.

Sekadar cukup rasa dan sarat dengan aksi dan efek, hidangan IANF dirasakan cukup mengujakan untuk memancing kaki wayang terutamanya muda-mudi untuk ke pawagam.

FILEM: I Am Number Four ARAHAN: D.J. Caruso LAKONAN: Alex Pettyfer, Timothy Olyphant, Dianna Agron, Kevin Durand, Teresa Palmer dan Callan McAuliffe GENRE: Aksi/Sains Fiksyen/Ngeri DURASI: 1 jam 50 minit EDARAN: Walt Disney Pictures TAYANGAN: 24 Februari 2011

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain