suria

Netizen kaitkan penyanyi rap Nakalness sebagai suspek seludup ganja di Laos

Tiga rakyat Malaysia ditahan di Laos atas dakwaan cubaan menyeludup dadah jenis ganja. Foto: Petikan dari Facebook The Laotian Times.

SEJAK tular berita penangkapan rakyat Malaysia di Laos yang turut mengaitkan seorang penyanyi rap berkaitan kes penyeludupan ganja seberat 86 kilogram, netizen mula meneka siapakah gerangan individu terbabit.

Malah menerusi foto yang dikongsi media Laos, netizen mula mengaitkan beberapa individu kerana identiti suspek boleh dikenalpasti menerusi foto berkenaan walaupun ia dikaburkan.

Apa yang mencuri perhatian, nama Nakalness atau Amar Arif  iaitu anggota kumpulan Forceparkbois dikaitkan sebagai individu terlibat apabila netizen mula menyerang pada ruangan komen di Instagram miliknya.

Inilah foto yang memperlihatkan rakyat Malaysia (duduk) ditahan pihak berkuasa Loas seperti dilaporkan portal The Laotian Times. 

“Ini ke orangnya? Hmmm. Saya datang awal nak baca komen saja.

“Netizen Malaysia memang pantas. Okay ke tu di Laos?

“Tolonglah beritahu perkara ini tidak benar, bro!” demikian antara komen yang ditinggalkan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi rap Malaysia seludup 86 kilogram ganja ditahan di Laos

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi ‘Bey Soba Bey’, suami dan rakan mengaku ambil dadah tapi tidak memiliki 6,000 pil kuda

Mengikut tinjauan mStar, ada juga peminat meluahkan rasa rindu terhadap penyanyi berkenaan kerana kali terakhir Amar memuat naik hantaran di Instagram adalah pada 21 Mei lalu.

Usaha mStar menghubungi wakil penyanyi berkenaan tidak berjaya apabila panggilan dibuat tidak dijawab.

Sebelum ini, media Laos melaporkan tiga rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa atas dakwaan cubaan menyeludup dadah jenis ganja sebanyak 103 bungkusan ke Jerman pada 27 Mei lalu.

Salah satu suspek dipercayai penyanyi rap yang berasal dari Johor Bahru.

Bagaimanapun pihak polis Laos masih belum mengesahkan butiran lanjut mengenai ketiga-tiga suspek manakala pihak berkuasa Malaysia belum memberi apa kenyataan rasmi mengenainya.

Untuk rekod kumpulan Forceparkbois popular dengan lagu Lotus dan mempunyai kira-kira 37,000 pengikut di TikTok milik mereka.

Mereka juga pernah bekerjasama dengan syarikat rakaman Warner Music yang turut melancarkan lagu mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain