suria

[VIDEO] Da'i Syed perangkap mangsa melalui direct message, ajak keluar makan, perdaya balik rumah untuk lakukan seks

KETIKA orang ramai mempersoalkan kenapa dengan mudah gadis-gadis yang mendakwa menjadi mangsa perbuatan terkutuk Da'i Syed mengikutnya pulang ke rumah, selebriti rancangan agama itu dipercayai menggunakan medium media sosial untuk memperdayakan mangsa.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed yang mengatakan suspek menggunakan modus operandi yang sama iaitu berkenalan melalui Instagram, mengajak mangsa keluar makan sebelum memperdaya mereka ke rumahnya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Suspek mula berkenalan dengan mangsa melalui direct message (DM) dan semua mereka adalah pengikut di Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN : “Terima kasih banyak semua... alright thank you” - Da'i Syed mahu bersihkan nama, reman disambung 5 hari lagi

"Suspek akan mengajak mangsa keluar makan atas pelbagai alasan termasuk atas kapasiti sebagai da'i, rakan Instagram dan perniagaan.

"Kemudian suspek atas pelbagai alasan membuat helah dan memperdaya serta memerangkap mangsa sebelum bawa balik ke rumah. Ketika di rumah berlaku perkara tanpa kerelaan.

Huzir berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa.

Tambah Huzir sehingga kini polis menerima tujuh laporan polis iaitu dua membabitkan Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol), tiga kes bagi Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cabul) dan satu kes di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii).



Da'i Syed sambung tahan reman lima hari.

Manakala satu kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut susulan tiada unsur gangguan seksual.

"Kami percaya mungkin ada lagi laporan, kita bersedia untuk itu dan sudah menubuhkan pasukan khas untuk siasat kes yang melibatkan suspek.

"Kejadian yang dilaporkan adalah terkini... namun tak kira lama atau baru, sila tampil dan buat laporan polis, kita akan siasat," katanya.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Da'i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, ditahan semula pada pagi Selasa selepas tempoh reman pertama berakhir pada 1 Disember.

Suspek ditahan reman selama lima hari lagi sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan.

Menurut peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan, suspek tetap dengan pendiriannya menafikan semua dakwaan terhadapnya dan sedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membersihkan namanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain