suria

“Apa nak dituntut kalau tiada harta?” - Balu dedah arwah suami muflis, terpaksa sekat nombor AR Badul kerana ditekan berkaitan harta

Shafinar tidak berniat membuka aib arwah suami mahupun bapa mentuanya, AR Badul.

SUSULAN kenyataan pelawak AR Badul menuntut haknya sebagai bapa atas kematian Mejar Mohd Zahir Armaya, balu Allahyarham iaitu Nour Shafinar Harun menjelaskan suaminya tidak meninggalkan sebarang harta.

Shafinar, 31, berkata, dia tidak mahu membuka aib mana-mana pihak namun terpaksa mendedahkan perkara sebenar selepas bapa mentuanya mahu menuntut hak terutama isu berkaitan pembahagian harta.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas setahun anak meninggal tertembak, AR Badul mahu tuntut hak - “Bukan nak bolot harta arwah tapi hak saya... anak-anak sendiri tak mengaku saya bapa”

Enggan berselindung, Shafinar mendedahkan arwah suaminya tidak mempunyai sebarang harta dan diisytihar muflis ketika perkahwinan terdahulu dengan bekas isteri pertama.

"Sebenarnya saya tak nak komen banyak dan kalau boleh saya tak nak buka aib sesiapa pun termasuk arwah suami saya tapi saya terpaksa jelaskan perkara ini sebab pihak sana yang berkongsi dahulu.



AR Badul luah rasa kecewa apabila dia dinafikan hak atas harta peninggalan arwah anaknya.

"Netizen pun dah mula buat spekulasi yang tidak baik mengenai isu ini. Sejujurnya, arwah suami saya sudah diisytihar muflis sejak perkahwinan pertamanya.

"Masa saya berkahwin dengan arwah waktu itu dia memang tidak ada apa-apa. Jadi, apa nak dituntut kalau tak ada harta," kata Shafinar ketika dihubungi mStar pada Isnin.

AR Badul meluahkan rasa kecewa kepada apabila dia dinafikan hak ke atas harta peninggalan anaknya, Allahyarham Mohd Zahir yang maut ketika melakukan demonstrasi keupayaan di Kem Kok Lawi, Sabah pada 4 September 2019.

Menerusi laporan mStar pada Isnin, Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 71, turut mempertikaikan mengenai insuran kelompok yang dikatakan dirinya tidak layak menerima.

Manakala duit anak-anak arwah juga saya simpankan dahulu.

SHAFINAR

BALU MOHD ZAHIR

Dalam pada itu, Shafinar memberitahu dia sudah menerima insuran kelompak dan membuat pembahagian mengikut jumlah caruman yang difaraidkan iaitu lebih RM5,000 kepada ibu mentua yang berada di Sabah dan ibu angkat arwah di Setapak.

Shafinar turut memberikan bahagian tersebut kepada anak-anak arwah dengan menyimpan duit itu untuk masa depan mereka namun tidak mempunyai kesempatan waktu untuk diberikan kepada AR Badul.

“Memang saya sudah terima insuran kelompok tapi selepas saya merujuk pada mahkamah dan bertanyakan kepada peguam, pengiraan jumlah caruman yang perlu difaraidkan hanya dalam RM5,000 lebih.

"Atas dasar keperimanusiaan, saya beri lebih daripada sepatutnya. Memang saya ada beri kepada ibu mentua di Sabah dan ibu angkat arwah suami saya yang menetap di Setapak. Manakala duit anak-anak arwah juga saya simpankan dahulu.

"Cuma bahagian baba (AR Badul) saya masih belum ada kesempatan untuk beri memandangkan kami tidak lagi berhubung. Kali terakhir bertemu masa majlis perkebumian arwah dan tak pernah bertemu lagi sehingga kini," ujarnya.



Arwah Mohd Zahir meninggal dunia pada September tahun lalu.

Bagaimanapun, Shafinar mengakui dia terpaksa menyekat nombor telefon AR Badul dan adik kepada arwah suaminya kerana pihak mereka memberi tekanan kepadanya berhubung isu harta.

Sementara itu, berkenaan dengan pencen dan elaun, Shafinar menjelaskan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuat agihan kepada penerima iaitu balu, anak-anak dan ibu kandung arwah.

"ATM dah buat agihan pencen kepada saya, anak-anak dan ibu kandung arwah. Pihak ATM juga yang menguruskan semua elaun arwah yang difaraidkan kepada penerima pencen.

"Dalam dokumentasi mempunyai dua waris iaitu waris utama isteri dan waris kedua sama ada ibu atau bapa kandung. Tapi saya difahamkan pihak ATM memberikannya kepada ibu arwah," ujarnya.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Akibat kejadian itu, pihak Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang bersidang pada 17 September 2019 bersetuju untuk menaikkan pangkat Allahyarham kepada Leftenan Kolonel.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Nour Shafinar Harun, 32, dan lima orang anak termasuk dua daripada perkahwinan terdahulunya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain