suria

Stesen TV hanya angkat drama Mandarin, Chew Kin Wah kecewa bahasa Kantonis diabaikan di Malaysia

Kin Wah mahu bahasa kantonis diangkat dalam industri lakonan.

PELAKON Chew Kin Wah meluahkan rasa kecewa apabila kebanyakan stesen televisyen di Malaysia memberikan keutamaan bahasa Mandarin bagi siaran drama Cina.

Kin Wah, 57, berkata, sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan dia hanya berpeluang sekali sahaja untuk berlakon dalam drama berbahasa Kantonis.

Kata Kin Wah lagi, dia hairan mengapa stesen dan produksi tempatan lebih mementingkan bahasa Mandarin sedangkan banyak lagi loghat bahasa Cina yang digunakan oleh masyarakat tempatan.

chew1 - 1

Kin Wah kecewa bahasa kantonis tidak diberikan pendedahan dalam drama televisyen.

"Saya merasakan bahasa Kantonis ini seperti diketepikan. Seperti bahasa Melayu, bahasa Cina juga mempunyai pelbagai loghat.

"Sejak saya mula berlakon, hanya sekali saya berpeluang melakonkan drama Kantonis pada 2002. Selepas itu saya rasa tidak ada lagi drama Kantonis kerana pihak televisyen menaikkan pula drama berbahasa Mandarin.

"Saya pelik juga kenapa guna bahasa Mandarin kerana setahu saya ia merupakan bahasa yang digunakan oleh masyarakat di China. China merupakan negara komunis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa produksi tempatan asyik bagi watak tauke kedai, Chew Kin Wah lebih semangat berlakon di Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN: Kurang Pelakon Cina Buatkan Kin Wah Tidak Perlu Bersaing

"Kenapa mahu guna Cina komunis. Di Malaysia kita masih banyak lagi loghat bahasa Cina seperti Kantonis, Hokkien Fujian, Teochew, Hainan dan Fuzhou," katanya kepada mStar.

Kin Wah berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sidang media filem Rain Town yang diadakan di Dadi Cinema Pavilion, Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Kin Wah turut berkongsi pengalamannya ditolak oleh stesen televisyen kerana tidak pandai berbahasa Mandarin.

Sejak saya mula berlakon, hanya sekali saya berpeluang melakonkan drama Kantonis pada 2002.

CHEW KIN WAH

PELAKON

Malah, dia turut berasa kecewa kerana bahasa Kantonis tidak diangkat dalam drama televisyen tempatan.

"Kalau dulu saya menerima tawaran di stesen televisyen, mereka mahukan saya berlakon drama Mandarin tetapi saya tidak tahu berbahasa Mandarin.

"Disebabkan itu mereka tidak mengambil saya berlakon namun apabila saya tonton drama di stesen TV mereka, ada pula drama lakonan Stephen Chow yang berbahasa Kantonis.

chew3 - 1

Kin Wah teruja dapat bergandingan bersama Susan.

"Saya tidak tahu mengapa drama Cina di Malaysia perlu menggunakan bahasa Mandarin," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kin Wah berkongsi rasa teruja apabila berpeluang menerajui filem kantonis yang diarahkan oleh pengarah berbangsa Melayu iaitu Tunku Mona Riza.

Tambah Kin Wah, dia juga menerima tawaran ini kerana dapat bersama keluarga memandangkan kini masanya lebih banyak dihabiskan di Indonesia.

"Saya terima tawaran ini kerana dapat berlakon di Taiping, boleh makan sedap. Saya juga dapat berada dekat dengan keluarga, sebelum ini saya sering ke Indonesia untuk berlakon.

"Selain itu, saya juga teruja untuk beraksi dalam satu layar yang sama bersama pelakon hebat seperti Susan Lankester," ujarnya.

chew2 - 1

Filem Rain Town mengangkat kisah kekeluargaan.

Filem Rain Town menceritakan seorang bapa iaitu Choo lakonan Kin Wah yang suka bertaruh serta mengatur kehidupan anak-anaknya sehingga menimbulkan konflik keluarga.

Selain Kin Wah dan Susan, Rain Town turut dibintangi barisan pelakon termasuk Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Filem ini akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 8 Februari tahun depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain