suria

[V] Anak dah jumpa ayam goreng lebih sedap... Faizal Tahir boikot jenama ada kaitan Israel, cuba alternatif produk tempatan

TANDA sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, penyanyi dan komposer Faizal Tahir teguh berpendirian untuk memboikot jenama-jenama yang dikaitkan dengan Israel.

Kata Faizal atau Ahmad Faizal Muhammad Tahir, 45, tindakan ini juga dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap produk jenama Barat.

Malah dia sendiri cuba mendidik anak-anaknya supaya mencari alternatif lain dalam membeli barangan makanan serta keperluan harian.

"Kalau saya beli barangan yang ada kaitan dengan Israel rasa tidak sedap dalam hati kerana kita boleh beri sumbangan kepada Palestin dengan cara memboikot. Percayalah sedikit yang kita lakukan ini boleh memberi impak besar kepada produk-produk tersebut.

faizal

Faizal bersama anak-anak lakukan persembahan di Faith4Palestine.

"Inilah masa untuk kita keluar dari cengkaman negara Barat. Selama ini kita hanya mengikut nafsu dan terikut-ikut orang lain.

"Baru-baru ini anak-anak saya mahukan ayam goreng dan kita sudah biasa dengan sebuah jenama terkenal. Jadi saya cuba cari alternatif dan kini sudah jumpa yang lebih sedap," katanya kepada mStar.

Menurut Faizal, tindakan boikot ini adalah atas pilihan setiap individu dan dia tiada sebarang masalah jika ada mana-mana pihak atau orang terdekat yang enggan berbuat demikian.

Dalam masa sama, baginya ini merupakan kesempatan dan satu cara terbaik untuk meningkatkan lagi produk keluaran tempatan yang tidak kurang hebatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Program Faith4Palestine berjaya kumpul RM43,806.21, Faizal Tahir lelong barang peribadi termasuk trofi AJL - “Sayang tapi cara belajar melepaskan”

ARTIKEL BERKAITAN: Faizal Tahir jual barang peribadi bantu saudara Islam, mahu beri kesedaran sejarah Palestin

"Perkara ini adalah atas pilihan masing-masing. Kalau ada rakan-rakan atau ahli keluarga mahu membeli barangan yang secara terangan memberi sumbangan kepada Zionis, itu adalah pilihan mereka. Saya tidak ada masalah dan masih terus berkawan.

"Kita lihat dari satu sudut positif, inilah masa untuk kukuhkan ekonomi dengan memberi sokongan terhadap barangan tempatan. Orang-orang kita pun dahsyat dan boleh keluarkan produk sendiri.

"Walaupun tidak semua barang kita beli adalah produk tempatan, sekurang-kurangnya ada usaha untuk tidak sokong jenama luar," ujarnya.

Penyanyi lagu Assalamualaikum ini juga adalah salah seorang selebriti yang aktif dalam misi kemanusiaan dan sering berkongsi tentang isu-isu yang berlaku di bumi Gaza.

f1

Faizal aktif membantu mereka yang memerlukan.

Prihatin dengan nasib mangsa perang di sana, Faizal berjaya mengutip dana berjumlah RM43,806.21 dalam program Faith4Palestine yang berlangsung baru-baru ini.

Penganjuran acara yang turut disertakan dengan program perkongsian ini juga sebagai tindakan sokongan Faizal untuk terus mengecam isu keganasan.

"Kalau saya nak ke sana (Palestin) perlu lihat adakah kehadiran saya dapat memberi impak atau bawa perubahan. Jika tidak tahu nak buat apa, lebih baik tak pergi ke sana.

"Cukup di sini untuk kita sebarkan tentang apa yang sedang berlaku," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain