suria

Shuib batal hasrat ubah suai rumah selepas mimpi cari arwah Siti Sarah… Baju terakhir dipakai jadi pengubat rindu

Setiap hari Shuib terkenangkan arwah isteri.

SELEPAS setahun pemergian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, pelawak Shuib memberitahu pernah berhasrat untuk mengubah suai kediaman mereka bagi mendapatkan suasana baru dan melupakan kenangan bersama arwah.

Shuib, 38, bagaimanapun berkata dia terpaksa melupakan perancangan itu kerana dapat merasakan seolah-olah arwah Sarah tidak bersetuju dengan keputusannya itu.

shuib 2

Shuib bersama ana-anak dan bapa Sarah, Raissuddin Hamzah.

“Selepas enam bulan arwah meninggal dunia pernah terfikir hendak ubah suai rumah untuk memberi suasana baru dan saya sudah berbincang dengan pereka dalaman.

“Bagaimanapun bulan lalu saya batalkan hasrat tersebut selepas saya mendapat mimpi sedih.

“Dalam mimpi itu saya masuk ke rumah baharu, namun ketika itu tercari-cari arwah tapi dia tiada. Ketika itulah saya sedar arwah sudah meninggal dunia,” katanya kepada mStar.

Shuib ditemui di majlis bacaan tahlil sempena setahun pemergian Sarah.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Setahun pemergian Siti Sarah, Shuib perit tanggung rindu rasa seperti arwah masih ada... Kini ibulah tempat menangis!

Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19.

Gara-gara mimpi itu, Shuib berkata emosinya terganggu seharian, namun dia nekad untuk terus tinggal di rumah yang sudah mereka diami hampir empat tahun.

Malah, sehingga kini Shuib masih menyimpan barang-barang peribadi milik arwah untuk dijadikan kenangan.

Baju terakhir yang dipakai arwah sebelum ke hospital saya masih simpan. Itu jadi pengubat kerinduan terhadap arwah

SHUIB

PELAWAK

“Barang-barang arwah masih saya simpan. Kalau terkenang bolehlah lihat dan pegang.

“Baju terakhir yang dipakai arwah sebelum ke hospital saya masih simpan. Itu jadi pengubat kerinduan terhadap arwah,” ujarnya.

Untuk rekod, Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada tahun 2011.

IMG_6349 (1)

Ayash kini berusia setahun.

Beberapa hari sebelum meninggal dunia, Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos tahun lalu yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Ayash, Shuib dan Sarah juga dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain