suria

Eza Edmond popular di Indonesia, lagu ‘Bahagia’ tahun 2017 tiba-tiba viral - “Banyak versi sudah dinyanyikan pelbagai pihak”

Eza seronok lagu Bahagia mendapat sambutan di Indonesia.

PENYANYI Eza Edmond melahirkan rasa syukur apabila lagu nyanyiannya berjudul Bahagia yang dilancarkan pada 2017 sekali lagi menjadi tular di negara seberang, Indonesia.

Tidak menjangkakan single tersebut menerima sambutan luar biasa, Eza yang berusia 23 tahun ini berkata ramai peminat menyanyikan semula lagu tersebut sehingga mendapat jutaan tontonan di platform mereka.

Gembira dengan penerimaan tersebut, anak kelahiran Papar, Sabah ini mengakui lagu itu membuatkan dia mula dikenali ramai.

"Ini memang sesuatu yang di luar jangkaan. Dulu lagu ini sudah tular di sana selepas dilancarkan berdasarkan komen yang mereka tinggalkan pada video muzik.

Eza 2

Eza teruja lagunya mendapat sambutan di Indonesia.

"Ada juga yang memuat naik video sendiri sehingga mendapat jutaan tontonan. Kini lagu Bahagia sekali lagi menjadi tular di Indonesia. Pelbagai versi sudah dibuat oleh pelbagai pihak.

"Sejujurnya, sedikit sebanyak ia memberikan kelebihan kepada saya yang masih belum dikenali ramai," kata Eza kepada mStar.

Semuanya bermula apabila lagu tersebut diolah semula oleh beberapa orang deejay (DJ) popular di Indonesia antaranya DJ Komang dalam pelbagai versi termasuklah remix dan sebagainya.

Muzik versi remix yang diadun semula itu tular di aplikasi TikTok yang akhirnya menambahkan lagi populariti lagu berkenaan.

Malah ia turut dimuat naik ke YouTube dan hingga kini ditonton lebih 20 juta tontonan.

Mereka bekerja keras dahulu dan hasilnya baru dilihat sekarang.

EZA EDMOND

PENYANYI

Sehingga ke hari ini terdapat kira-kira 20 syarikat muzik dan lebih 30 penyanyi dari negara seberang meminta kebenaran daripada syarikat rakaman naungannya iaitu Sheikh Qalam Records untuk merakamkan semula lagu itu.

Ada di antara mereka sudah merakamkan semula lagu berkenaan dalam bahasa Jawa dan pelbagai bahasa kaum di sana serta mengeluarkan semula di YouTube.

Dalam pada itu, Eza menganggap sambutan yang diterima merupakan rezeki kepada semua yang terlibat dalam pembikinan lagu ciptaan komposer baharu, Hazmi Fahim.

"Tak tergambar dengar kata-kata apabila lagu ini menjadi sebegitu besar di sana ketika ini. Saya anggap ini rezeki kepada semua yang terlibat dalam pembikinan Bahagia.

eza 1

Eza anggap sambutan yang diterima itu rezeki untuk mereka yang terlibat dalam lagu Bahagia.

"Mereka bekerja keras dahulu dan hasilnya baru dilihat sekarang. Setidaknya dengan sambutan yang diberikan membuatkan saya mahu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri.

"Saya berterima kasih kepada Hazmi Fahim yang mencipta lagu indah ini. Kepada semua peminat, terima kasih terus memberikan semangat kepada saya sejak dahulu.

"Insya-Allah ada sesuatu yang besar akan saya lalukan sedikit masa lagi. Apa-apa pun kena tunggu," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Pelajar boleh bawa telefon ke sekolah?