suria

Hijjaz beri nafas baharu lagu P. Ramlee ‘Tiada Kata Secantik Bahasa 2020’ dengan niat dakwah

Hijjaz bergandingan bersama Pasya (gambar atas) serta Kmy Kmo dan Luca Sickta (gambar bawah) dalam lagu terbaharu.

KEMUNCULAN kumpulan nasyid Hijjaz dengan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa 2020 nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diberi nafas baharu menerima pelbagai reaksi pendengar.

Bersedia jika ada yang mempertikaikan tindakan mereka menyanyikan semula lagu tersebut, wakil kumpulan iaitu Isman Nadim berkata mereka mahukan sebuah lagu yang mudah diterima dan mesra di telinga pendengar.

"Kami sudah lama tidak tampil dengan single terbaharu... bila difikir-fikirkan kembali, lagu baru mungkin memakan masa sedikit untuk diterima. Dalam keadaan sekarang, ramai penyanyi tidak menghasilkan album lagi tetapi rata-rata memilih tampil dengan single.

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang muda suka rap, jadi kita ikutlah!” - Hijjaz ‘upgrade’ cara dakwah dalam lagu

"Kami tidak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakan itu kerana kami tidak melakukan kesalahan pun, sebaliknya kami hanya ingin mengajak peminat untuk bersama-sama berselawat.

"Kami juga sebenarnya cuba membawa kelainan, kami tidak mahu nasyid berada pada takuk sama sebab itu kami berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap supaya muzik nasyid akan lebih bersifat universal dan diterima semua lapisan masyarakat," katanya.

Hijjaz percaya Pasya serta Kmy Kmo dan Luca Sickta mampu tarik pendengar dari generasi muda.

Versi baharu yang memuji kemuliaan Rasulullah SAW itu dinyanyikan semula oleh Hijjaz bersama Pasya serta duo hip hop Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Jika versi asal lagu tersebut digubah oleh P. Ramlee dengan lirik tulisan Jamil Sulong, untuk versi baharu pula liriknya merupakan hasil nukilan Isman bersama-sama dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun, hasrat itu akhirnya termakbul!

HIJJAZ

KUMPULAN NASYID

Dalam pada itu, Isman berkata idea menghasilkan lagu berkenaan tercetus sejak dua tahun lalu ketika berada di Madinah.

"Sewaktu berada di Madinah pada tahun 2018, saya terfikir kenapa tidak lagu itu digubah menjadi lagu selawat. Saya berhasrat menukar liriknya yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasullullah.

Hijjaz mahu terus berdakwah dalam lagu.

"Semoga dengan karya itu, dapat menjadi ladang pahala bukan saja kepada mereka yang turut berselawat apabila mendengarkan lagu kami, malah pahala itu dapat mengalir kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, itulah objektif utama saya.

"Jadi sepanjang di Masjid Nabawi, saya gunakan kesempatan itu berbual-bual dengan Rasullullah, sambil meminta baginda mengaminkan doa saya. Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun, hasrat itu akhirnya termakbul," ujarnya.

Selain Isman, Hijjaz turut dianggotai oleh Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Arin Ahmad Rahim.

Tiada Kata Secantik Bahasa 2020 sudah boleh didengari di semua platform digital dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain