suria

Ain Edruce akui suami bawa tuah, rezeki bertambah lepas kahwin - “Kalau video ada Amirul baru ramai yang tengok”

Peminat suka tonton video Ain jika ada Amirul.

PERKONGSIAN video pengacara dan pelakon Ain Edruce di saluran YouTube menjadi tarikan netizen yang suka melihat wajah 'spontan' suaminya iaitu Amirul Haz Mustaffa.

Mengakui penonton lebih gemar melihat Amirul, Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce mendedahkan dia memaksa dan memujuk suaminya untuk berada dalam setiap video yang dimuat naik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Yes... saya mengandung!” - Ain Edruce bakal jadi ibu, kini hamil empat bulan

Pelakon berusia 29 tahun ini bagaimanapun menganggap suaminya itu sebagai pembawa tuah dan rezeki dalam kehidupan mereka.



Ain anggap suaminya sebagai pembawa rezeki dan tuah dalam kehidupan mereka.

"Ramai peminat yang minta saya buat video ada Mirul sekali. Saya pun sedar, kalau video saya di YouTube ada Mirul, baru ramai orang suka tengok. Sebenarnya dia tak suka berada depan kamera.

"Semua yang dia lakukan sebabkan saya sahaja. Puas saya pujuk... dia kena paksa juga dengan saya tapi itulah, orang suka pula tengok muka dia yang kena paksa dengan saya. Mungkin sebab nampak muka dia jujur.

"Jadi, saya anggap banyak rezeki selepas kahwin ini disebabkan Mirul. Bagi saya, he is my lucky charm... dia bawa rezeki kepada keluarga kami," kata Ain kepada mStar.

Ain yang kini sedang hamil lima bulan ditemui ketika sesi rakaman sebuah program TV di Sri Pentas, Bandar Utama Damansara, Petaling Jaya pada baru-baru ini.

Bagi saya, perkongsian mengenai kehidupan saya dan suami atau keluarga di YouTube itu sebagai kenangan.

AIN EDRUCE

PENGACARA

Rata-rata netizen lebih teruja melihat aksi dan wajah suami Ain yang seakan-akan 'tiada perasaan' atau terpaksa melayan isteri menerusi video perkongsian aktres itu di saluran YouTube miliknya.

Dalam pada itu, Ain menjelaskan tujuan dia berkongsi momen kehidupannya bersama suami dan keluarga di YouTube untuk dijadikan kenangan yang boleh ditonton semula bila-bila masa.

Bagaimanapun, Ain berkata biarpun dia seorang yang terbuka namun tetap tidak akan berkongsi sesuatu yang terlalu peribadi seperti proses bersalin anak pertamanya kelak.

"Bagi saya, perkongsian mengenai kehidupan saya dan suami atau keluarga di YouTube itu sebagai kenangan. Kalau saya nak tengok semula, saya boleh buka YouTube saja.



Video reaksi Amirul ketika mengetahui Ain hamil turut mencuit hati penonton.

"Memang saya terbuka berkongsi di laman sosial dan YouTube sebabkan nak simpan kenangan itu penting. Tapi kalau ada perkara yang tak boleh nak kongsi seperti proses bersalin ke.

"Sebab macam mana terbuka pun saya tapi rakyat Malaysia tak boleh terima budaya kongsi video terlalu peribadi seperti itu. Sebagai contoh, baru-baru ini saya kena tahan wad sebab tak sihat pun tak ada kongsi di laman sosial," ujarnya.

Sebelum ini, Ain berkongsi berita gembira bahawa dia sedang berbadan dua menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube pada November lalu.

Menerusi laporan mStar pada 29 November lalu, pengacara program Melodi Extra itu berkata dia tidak mempunyai niat untuk merahsiakan kehamilan itu namun hanya memilih masa yang sesuai untuk dikongsikan bersama peminat.

Pelakon sitkom komedi Jenaka Kampung Kalut: JKK itu mendirikan rumah tangga dengan Amirul Haz Mustaffa pada 13 Disember tahun lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain