suria

Persembahan dikritik, Rozita Izlyn tidak terasa hati - “Vibrato macam pakai mekap... ada suka tebal, ada suka nipis”

Tiada rezeki Rozita teruskan perjuangan di pentas GV7.

PESERTA Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang tersingkir di konsert minggu keenam iaitu Rozita Izlyn menganggap cara nyanyian yang terlalu banyak vibrato bukan punca utama penyingkirannya.

Kata Rozita, 44, teknik getaran suara itu diibaratkan seperti solekan yang mana ia terlalu subjektif untuk dinilai.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu banyak ‘vibrato’, Rozita Izlyn tersingkir GV7

"Tipu la kalau kata tak sedih, cumanya saya lebih terkilan kerana tak dapat nak memenuhi impian peminat. Keadaan kesihatan saya juga tak mengizinkan malam tu, saya anggap memang tak ada rezeki.

"Sebenarnya komen juri berkenaan vibrato tu sangat subjektif. Jadi bagi saya, itu bukan faktor utama sehingga ia boleh menjadi penyebab saya tersingkir.



Rozita tidak anggap kritikan juri berhubung vibrato jadi punca dia tersingkir.

"Vibrato ni contohnya macam pakai makap, ada yang suka pakai tebal dan ada suka pakai nipis saja," kata Rozita kepada mStar.

Rozita yang menyanyikan lagu Mengapa Sukar Melafazkan duet bersama Ezad Lazim menerima markah terendah iaitu 57.4 peratus menyebabkan dia tersingkir pada konsert yang berlangsung pada malam, Ahad.

Pada malam tersebut, penyanyi Aishah selaku juri jemputan mengkritik nyanyian Rozita terlalu banyak getaran sehingga menjejaskan persembahan yang dilakukan penyanyi itu.

Jangan masuk pertandingan, kalau tak berani kena kecam,

ROZITA IZLYN

PENYANYI

Dalam pada itu, Rozita mengakui pada awalnya dia menolak tawaran sertai GV7 kerana sudah lama meninggalkan bidang nyanyian dan mempunyai pekerjaan tetap.

Selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya Rozita menyahut cabaran tersebut dan melakukan persiapan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

"Saya akui yang saya dah lama tinggal bidang nyanyian dan memang tidak yakin dari awal saya sertai GV7 ini. Awal-awal lagi saya dah tolak apabila ditawarkan untuk sertai program ini.



Rozita pada awalnya menolak tawaran sertai GV7.

"Saya rasa tak boleh nak beri komitmen kerana saya mempunyai kerja tetap. Bila saya dipujuk beberapa kali, akhirnya saya terima cabaran dan mempersiapkan diri saya yang tak sampai sebulan pun.

"Bila dah ambil keputusan untuk masuk bertanding saya memang buat sehabis baik yang boleh, cumanya biasa la sudah berumur, badan cepat rasa letih," jelasnya lagi.

Sementara itu, Rozita berkata dia tidak terasa hati jika mendapat kritikan negatif kerana ia adalah lumrah memasuki pertandingan.

"Jangan masuk pertandingan, kalau tak berani kena kecam," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain