suria

Tiada undangan menyanyi, isteri strok... rumah tangga Rahmat Rabbani diduga

Isteri Rahmat Rabbani, Norazlina A. Rahman mengalami masalah strok.

PERASAANNYA sangat segan untuk dia bercerita kepada umum akan hal ini.

Namun, setelah berbulan-bulan melaluinya bersama-sama isteri dan keluarga yang boleh diibarat bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, anggota kumpulan nasyid Rabbani ini akhirnya sudi berkongsi masalah hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: Rabbani anjur Karnival Ummah Bestari kutip dana bangunkan pusat tahfiz

Berkali-kali dipujuk oleh wartawan, akhirnya Ahmad Shafie atau lebih dikenali sebagai Rahmat Rabbani, membuka mulut.

Rahmat memberitahu bahawa kehidupan mereka sekeluarga agak tenat sekarang ini, setelah isterinya, Norazlina A. Rahman, 48 mengalami masalah strok.

Sejak dua bulan lalu, ibu kepada empat anak itu tidak lagi mampu menjalani kehidupan dengan sempurna.



Keadaan isteri Rahmat yang tidak mampu jalani kehidupan seperti biasa.

Kesan terjatuh di bilik air pada awal Mac lalu, doktor mengesahkan Norazlina mengalami kelumpuhan separuh anggota badan, selain pendarahan di kepala dan kerap berulang-alik ke hospital.

“Ini dugaan buat kami sekeluarga apabila saya juga semakin susah untuk bergerak kerana perlu menjaga isteri di rumah. Saya sendiri sudah tidak ada punca pendapatan apabila Rabbani tidak lagi dipanggil untuk membuat persembahan pentas sejak awal tahun lalu.

“Sepanjang 2019 juga, persembahan sangat terhad dan lebih kepada undangan berbentuk amal sahaja.

“Dalam keadaan tidak ada pekerjaan dan kini isteri pula sakit, memang dugaan ini agak berat untuk kami sekeluarga, ” kata Rahmat, berkongsi sedih.

Kehidupan keluarga Rahmat sebelum ini banyak bergantung kepada tawaran persembahan pentas bersama Rabbani sejak lebih 20 tahun lalu.

Hidup sebagai artis ada pasang surutnya, sementelah tiada pendapatan tidak tetap seperti pekerja di sektor awam dan swasta lain.

Dalam keadaan tidak ada pekerjaan dan kini isteri pula sakit, memang dugaan ini agak berat untuk kami sekeluarga

RAHMAT

AHLI RABBANI

Keadaan diburukkan lagi dengan tragedi pandemik Covid-19, di mana semua orang perlu duduk di rumah dan mematuhi arahan PKP pada pertengahan Mac 2020.

“Pada ketika tiada tawaran persembahan sebelum ini, isteri saya turut membantu ekonomi keluarga dengan menjual masakan tradisi Terengganu seperti nasi dagang dan laksam.

“Bagaimanapun kini keadaan berubah 100 peratus apabila dia sendiri sudah kurang bermaya dan saya sendiri tidak boleh ke mana-mana untuk mencari rezeki buat menampung belanja keluarga.”

Rahmat berharap agar ada pihak yang sudi membantu dia dan isteri yang memerlukan kos sebanyak RM1,500 sebulan bagi keperluan ubat-ubatan, lampin pakai buang dan keperluan lainnya.

Pendakwah muda, Sheikh Mohammad yang sempat menziarahi Rahmat di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor turut menyampaikan barangan keperluan asas termasuk lampin pakai buang untuk kegunaan Norazlina.



Ustaz Sheikh Mohammad beri sumbangan kepada Rahmat dan isterinya.

Menurut Sheikh Mohammad, sudah sekian lama Rahmat menghiburkan hati rakyat Malaysia melalui lagu-lagu berunsur ketuhanan dan keagamaan.

Banyak nasihat yang baik disampaikan bersama kumpulan Rabbani kepada masyarakat.

“Jadi pada ketika Rahmat dan keluarganya sedang dilanda dugaan besar, kita berharap agar semua pihak dapat tampil membantu. Kita usahakan untuk memberi sumbangan serba sedikit kepadanya agar dia dapat melepasi ujian dan dugaan ini dengan baik dan kembali bangkit.

“Percayalah setiap sumbangan yang anda berikan akan mendapat ganjaran setimpal di kemudian hari kerana Allah SWT berjanji bahawa tidak akan jatuh miskin insan-insan yang sering bersedekah, ” jelas pengasas Laksa Ustaz ini.

Mereka yang ingin membantu meringankan beban Rahmat dan isteri boleh hubungi talian 019-2336602 untuk mendapatkan nombor akaun.

Rahmat, Rabbani, Strok, Sheikh Mohammad

Artikel Lain