suria

NGO rayu tangguhkan tayangan drama LGBT, minta RTM jemput wakil agamawan untuk pratonton terlebih dahulu

Jawatankuasa Bertindak NGO Pendidikan Islam meminta RTM (RTM) menjemput wakil berkepentingan untuk menonton terlebih dahulu.

JAWATANKUASA Bertindak NGO Pendidikan Islam meminta Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menjemput wakil berkepentingan untuk menonton terlebih dahulu telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi sebelum ditayangkan kepada umum.

Menerusi satu kenyataan kepada mStar, Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) iaitu Manolito Mohd Dahlan turut berharap telefilem itu ditangguhkan tayangan sehingga mendapat kata sepakat daripada semua pihak.

"Keresahan masyarakat terhadap telemovie ini mula timbul apabila poster iklan dan sinopsisnya mula diviralkan kepada umum sehingga mengundang pelbagai persepsi dan tanggapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berani bikin drama LGBT, Fadzil Zahari 'bongkar' aktiviti songsang pelajar IPT

ARTIKEL BERKAITAN: “Babak dimanipulasi hingga nampak negatif” - Fadzil Zahari siasat individu bocorkan kandungan telefilem LGBT

"Kami minta satu sesi pratonton diadakan kepada pihak berkepentingan seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Jakim dan NGO Islam seperti kami sebelum telemovie tersebut disiarkan kepada umum.

"Jika perlu, penayangan telemovie yang telah membuka medan perdebatan hangat ini perlu ditangguhkan sehingga kata sepakat dengan pihak berkepentingan diperolehi," katanya.

Telefilem ini mengandungi banyak mesej tersirat.

Jawatankuasa bertindak NGO pendidikan Islam ini diwakili oleh Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysoa (Permata), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), Institusi Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah Ummah Malaysia (Pengasuh) dan Pertubuhan Ayahda Penyatuan Islam Malaysia (Papim).

Sementara itu, Manolito berkata keresahan dan kebimbangan masyarakat terhadap telefilem itu ada asasnya memandangkan kebelakangan ini terdapat kecenderungan kalangan tertentu memburukkan institusi Islam dan agama Islam amnya.

Kami menyeru mana-mana pihak yang menerbitkan karya seni atas nama Islam untuk siaran dan tatapan umum terlebih dahulu merujuk kepada ahli agama.

MANOLITO MOHD DAHLAN

Presiden Permata

Malah, dia turut meminta mana-mana penggiat seni merujuk kepada ahli agama sebelum menerbitkan sesuatu karya supaya tidak mendatangkan keresahan kepada masyarakat.

"Kami sangat prihatin dengan keresahan masyarakat Islam terutama pencinta pendidikan tahfiz al-Quran berhubung penerbitan telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi ini.

Penerbit Prokuya Studios, Fadzil Zahari mendakwa penyebaran kandungan telefilem telah dimanipulasi.

"Sesuai dengan semangat musyawarah dan tabayyun yang dituntut Islam, besarlah harapan kami jika pihak penerbit dan RTM segera membuka pintu rundingan dan muzakarah untuk kepentingan umat Islam di negara ini.

"Kami juga menyeru mana-mana pihak yang menerbitkan karya seni atas nama Islam untuk siaran dan tatapan umum terlebih dahulu merujuk kepada ahli agama dan institusi berotoriti agar tidak mendatangkan keresahan masyarakat," katanya.

Pada Ahad, Pegawai Perhubungan Media RTM iaitu Nurhaninah Ayub mempertahankan telefilem berkenaan dan berkata pihak produksi tiada niat memaparkan sisi negatif pusat tahfiz, sebaliknya sarat mesej berguna yang boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat.

"Drama ini sarat dengan mesej yang bagus dan memberitahu kepada masyarakat isu realiti memang berlaku dalam masyarakat kita. Sebenarnya ia terpulang kepada individu yang akan menonton drama ini.

"Kalau mereka memandang mesej yang disampaikan secara positif, maka ia menjadi pengajaran. Sebelum penggambaran dijalankan, RTM sendiri sudah membuat penilaian terlebih dahulu sama ada naskhah drama yang bakal disiarkan sesuai atau tidak.

"Ini juga membuktikan kami menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat untuk membawa mesej yang positif melalui siaran drama," katanya.

Telefilem berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi mengisahkan tentang seorang maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali bertaubat serta mendalami ilmu agama.

Watak maknyah yang dipegang oleh Syafie Naswip membuat keputusan masuk ke pusat tahfiz. Namun ketika di pusat tahfiz, dia telah dihina dan dikeji sebagai pengikut kaum Luth.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu gambar dan sinopsis Demi Tuhan Aku Bersaksi ini tersebar di laman sosial sehingga ia menerima kecaman netizen kerana dianggap tidak sensitif gara-gara memilih elemen budaya hidup songsang di dalam sebuah pusat keagamaan.

Demi Tuhan Aku Bersaksi

Artikel Lain