Fazley Yaakob beri hadiah setiap hari jika anak puasa penuh - Hiburan | mStar

Fazley Yaakob beri hadiah setiap hari jika anak puasa penuh

Fazley ada cara untuk menggalakkan anak-anak berpuasa.

PENYANYI dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob berkata dia memberikan hadiah setiap hari untuk anak-anaknya yang berjaya menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan ini.

Menurut Fazley, 41, dia menyediakan kotak khas cabutan bertuah mengandungi hadiah misteri sepanjang 30 hari berpuasa.

"Bagi menggalakkan anak-anak berpuasa, saya sediakan kotak misteri yang mengandungi hadiah.

"Maknanya kalau mereka puasa penuh, ada hadiah untuk mereka. Bukan hadiah harian sahaja, malah hadiah mingguan turut diberikan.

"Alhamdulillah, buat masa ini semua anak-anak saya berpuasa penuh, mereka tertarik dengan tawaran yang saya beri itu," katanya kepada mStar.

Fazley ditemui ketika majlis pelancaran Semanis Syawal MyTown yang diadakan di pusat membeli-belah MyTown, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fazley berkahwin dengan Azrene Soraya Abdul Aziz dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 10, Ahmad Rieradz Shah, 9, Ahmad Firudz Shah, 7, dan Alayna Selma yang kini berusia lapan bulan.

Sementara itu, Fazley memberitahu jadualnya agak padat di bulan Ramadan ini dan masih belum berkesempatan untuk berehat daripada kerja.

"Puasa tahun ini saya agak sibuk dengan pelbagai program antaranya masakan, perniagaan dan ada juga persembahan nyanyian.

"Sejujurnya masih belum ada rehat lagi, selalu terlambat berbuka puasa. kadang-kadang sempat minum air dan makan kurma sahaja, dua jam kemudian baru boleh makan berat," ujarnya.

Fazley yaakob

Artikel Lain

Agong bantu mangsa kemalangan