suria

Roslan Hussin meninggal dunia, sesak nafas ketika di lampu isyarat

Pelakon Roslan Hussin (kiri) ketika menerima kunjungan wakil Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Zack (Kool) yang turut menghulurkan sumbangan bagi pihak persatuan kepadanya.

PELAKON drama tahun 1990-an Roslan Hussin meninggal dunia ketika dibawa bagi mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung pada Isnin.

Isterinya, Normizan Hamzah, 44, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Allahyarham diserang sakit jantung ketika kereta dipandunya berhenti di sebuah lampu isyarat di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketika itu arwah bersama anak keduanya keluar untuk membeli kasut sekolah.

Pelakon Zulkifli Ismail (kanan) bergambar kenangan bersama Roslan. Foto: Facebook Zulkifli Ismail.

“Anak meminta pertolongan dengan orang awam yang berada berhampiran dan arwah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur namun setibanya di hospital, doktor mengesahkan dia telah pun menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Selain isteri, Roslan yang menghidap angin ahmar sejak setahun lalu turut meninggalkan 4 orang anak.

Selain aktif dalam lakonan drama televisyen tempatan suatu ketika dahulu, Allahyarham turut berlakon dalam filem Layar Lara.

Jenazah akan dimandikan di Surau Al Husna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, Kuala Lumpur pukul 8.30 pagi Selasa dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara kira-kira pukul 10 pagi.

Roslan Hussin

Artikel Lain