suria

Rakyat Malaysia tak gemar tonton filem untuk berfikir - Remy Ishak

Remy percaya satu hari nanti filem yang berat dapat diterima di masa hadapan. Foto: NORAFIFI EHSAN.

PELAKON Remy Ishak berpendapat setiap penonton mempunyai kehendak yang berbeza dalam pemilihan filem dan ia bukan sesuatu yang boleh dihalang.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 36, berkata ada ketikanya mereka lebih gemar menonton filem ringan untuk mengisi masa lapang.

Menurutnya, kutipan filem Hantu Kak Limah (HKL) telah membuktikan rakyat Malaysia tidak gemar menonton filem yang memerlukan untuk berfikir.

"Filem itu ibarat idea setiap orang. Kehendak penonton ini kita tak boleh halang. Ada ketika penonton suka yang santai untuk mengisi masa lapang.

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton keliru, ‘Pulang’ lebih berkualiti kutip RM1 juta, hiburan kosong ‘HKL’ kaut RM9 juta


Status pemilik akaun Noor Helmie yang mempersoalkan kemahuan dan kehendak selera penonton tempatan.

"Ada yang suka cerita-cerita berat dan ada juga yang suka filem berkonsepkan intelektual.

"Apabila kutipan filem santai lebih tinggi, di situ kita faham rakyat Malaysia tidak mahu sesuatu yang berat atau perlu berfikir," kata Remy kepada mStar Online.

Remy ditemui ketika Malam Gala filem Rise Ini Kalilah di GSC, One Utama Shopping Centre, Petaling Jaya, pada Isnin.

Dia diminta mengulas mengenai perbandingan kutipan filem HKL dengan filem lakonannya iaitu Pulang yang jauh berbeza.

Filem HKL yang diarahkan Mamat Khalid itu mendapat kutipan sebanyak RM32.5 juta dalam masa 18 hari ditayangkan.

Manakala, filem gandingannya bersama Puteri Aishah itu berjaya mengutip sebanyak RM1 juta dalam masa seminggu.

Remy menyedari penonton mempunyai kehendak yang berbeza dalam pemilihan filem.

Dalam pada itu, Remy beranggapan sebagai pengkarya seni tidak boleh berhenti untuk menghasilkan karya seperti filem Pulang.

Baginya, mungkin satu hari nanti filem sebegitu akan diterima di masa hadapan dan penonton melihat cerita tersebut dengan lebih santai.

"Sebagai pengkarya seni, tak boleh nak berhenti hasilkan cerita berat sebab filem perlu ada pelbagai.

"Bila orang buat cerita ringan, tak akan kita nak ikut sahaja. Nanti semuanya sama sahaja. Setiap filem mesti ada jatuh bangun, tapi kita kena positif.

"Satu hari nanti filem berat yang dianggap masyarakat ni mungkin akan diterima di masa akan datang dan mereka menonton dengan lebih santai pula," ujarnya.

Remy Ishak, Hantu Kak Limah, Pulang

Artikel Lain