suria

Berlaku tepi kereta, Syatilla Melvin rakam detik pemandu bas RapidKL dibelasah

Syatilla sempat merakam detik pemandu bas RapidKL dibelasah beberapa orang.

KEJADIAN pemandu bas RapidKL yang merempuh tujuh kenderaan dan dibelasah orang ramai menjadi peristiwa mengejutkan buat pelakon Syatilla Melvin yang sempat merakamkan insiden itu. 

Syatilla, 27, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Hospital Ampang dan telah menyaksikan satu kejadian yang disangkanya penggambaran drama di sebuah persimpangan lampu isyarat bawah jejambat laluan MRR2.

"Semalam (Khamis) masa perjalanan pulang dari Hospital Ampang, saya lalu kat bawah jejambat MRR2.

"Sementara tunggu lampu hijau, dengar orang jerit-jerit dan berlari laju beramai-ramai depan kereta.

"Tak sampai beberapa minit, kelihatan seorang lelaki jatuh kemudian orang ramai belasah dia," kata Syatilla ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bas rempuh kenderaan ibarat filem aksi, bayi dua bulan terpelanting

Kejadian sebuah bas melanggar tujuh buah kereta telah tular di laman sosial.

Pelakon drama Shah Vs Sha itu memuat naik video rakaman itu menerusi laman Instastorynya pada Khamis.

Sebanyak tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh sebuah bas henti-henti dipandu seorang lelaki yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan bangunan Risda di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Tambah isteri kepada pelakon Shaheizy Sam ini, pada mulanya dia beranggapan insiden yang berlaku itu sekadar lakonan.

Namun, dia mengetahui berita mengenai kejadian tersebut selepas melihat laman Instagram.

"Pada mulanya, saya ingatkan ada penggambaran. Selepas itu, tengok macam pukul betul-betul saja.

Pemandu bas yang disyaki cuba melarikan diri mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Teruk juga dia kena belasah. Rupa-rupanya apabila buka Instagram, tengok dah viral kes itu," ujarnya.

Kata Syatilla, ketika itu dia berasa gementar kerana insiden pemandu bus dibelasah berlaku di tepi keretanya.

"Gementar la sebab betul-betul tepi kereta saya. Takut mereka ada parang atau pistol saja.

"Orang yang tengah marah ini tak boleh fikir apa dah, kang tak pasal-pasal kena kita," katanya.

Pemandu bas henti-henti milik RapidKL itu telah ditahan polis di Hospital Ampang bagi membantu siasatan.

Pemandu berkenaan yang mengalami kecederaan di bahagian kepala masih lagi menerima rawatan di hospital berkenaan.

Syatilla Melvin, Bas rempuh

Artikel Lain