suria

Kenapa 'Misteri' Ernie Zakri Hilang Akhirnya Dijawab

Erni menjelaskan dia bertindak menarik balik video lirik single terbaharunya Misteri di Youtube kerana tidak berpuas hati dengan kualiti audio lagu tersebut. Foto AZLINA ABDULLAH

PENYANYI Erni Zakri menjelaskan dia mempunyai sebab tersendiri menarik balik video lirik single terbaharunya, Misteri walaupun ia sudah mendapat 100,000 tontonan sejak ia dimuat naik di YouTube sejak 27 Mac lalu.

Erni berkata, kualiti audio yang tidak memuaskan menjadi punca dia berbuat demikian walaupun ralat memandangkan ia mula mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

"Saya memuat naik semula video lirik itu kerana tidak berpuas hati dengan kualiti audionya selain tidak mahu peminat berasa kecewa dengan hasil yang diberikan.

"Ralat juga hilang 100,000 tontonan tetapi tidak mengapa kerana apa yang kami lakukan itu adalah untuk jangka masa panjang.

"Alhamdulillah kami sudah pun memuat naik muzik video yang baru pada 29 Mac dengan kualiti lebih baik," katanya.

Erni terharu dengan sokongan diterima daripada peminatnya.

Ernie ditemui pada sidang media pelancaran single Misteri ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu pada Sabtu.

Bekas juara Bintang RTM 2009 itu juga turut mengambil peluang meraikan peminatnya dikenali sebagai Erninators menerusi pelbagai aktiviti  pada acara itu.

Dalam pada itu, Ernie berkata, Misteri disifatkan sebagai istimewa kepada dirinya kerana liriknya banyak berkait rapat dengan susah senang kepayahannya sepanjang lapan tahun bergelar penyanyi.

"Pengalaman dalam industri saya gunakan perasaan itu secara positif untuk lagu ini dan ia sebenarnya mengangkat mesej agar jangan mudah berputus asa walaupun terpaksa mengharungi cabaran hebat dalam hidup.

"Ini masa yang sesuai saya kira untuk luahkan semua isi hati kepada semua dan Misteri juga adalah untuk semua yang mungkin merasai perasaan sama seperti saya," katanya.

Erni melancarkan single terbaharunya, Misteri.

Sementara itu, Ernie berkata, dia mengambil masa setahun untuk menyiapkan lagu tersebut kerana ingin memastikan hasilnya adalah yang terbaik.

"Banyak kali saya tidak puas hati dengan susunan lagu, vokal saya untuk lagu ini dan sebab itu ia tertangguh lama kerana saya mahu berikan yang terbaik kepada pendengar.

"Pertama kali saya dengar melodi Misteri saya sudah jatuh cinta dan seminggu juga saya sukar tidur kerana asyik memikirkan tentangnya.

"Alhamdulillah impian hendak bekerjasama dengan Gouffran dan Sang Hitam juga akhirnya tercapai," katanya.

Ernie Zakri, Misteri

Artikel Lain