suria

Setahun Muaz Mohamed Tunggu Tawaran Jadi Pengacara TV

Muaz anggap rezekinya datang perlahan-lahan. Foto: SHAARI CHEMAT.

PENYAMPAI radio Kool FM, Muaz Mohamed akui dia tidak menerima tawaran mengendali program TV selepas kira-kira setahun berpindah ke stesen radio swasta bawah Media Prima.

Bagaimanapun, Muaz, 34, berkata dia hanya memandang positif terhadap penantian itu dan menganggap belum diberi rezeki dalan bidang berkenaan.

"Selepas berhijrah dari RTM ke Media Prima dan genap setahun saya tak ada mengendali mana-mana program.

"Ada juga ketika saya berfikir kenapa dah setahun tak dapat tawaran untuk program. Saya ada salah atau ada pihak yang tidak menyukai saya? Tapi saya fikir positif mungkin belum tiba rezeki saya," kata Muaz kepada mStar Online.

Kata Muaz, dia yakin dengan takdir yang memberi masa untuk dia menyusun perjalanan kariernya.

Barisan pengacara Borak Kopitiam.

Bagaimanapun, Muaz meluahkan rasa syukur apabila ditawarkan untuk mengacara program terbaharu, Borak Kopitiam.

"Mungkin takdir beri masa untuk saya susun macam mana perjalanan karier saya.  Saya yakin, perubahan dulu dan sehingga tidak terlalu cepat.

"Alhamdulillah, saya dapat tawaran untuk menjadi pengacara untuk program Borak Kopitiam.

"Saya rasa bersyukur  sebab rezeki itu bukan datang laju tapi perlahan-lahan," ujarnya.

Selain Muaz, program tersebut turut dikendali oleh Dayah Bakar, Hefny Sahad, Sarah Adiba, Feona Cheong, Fify Azmi, Haziq (Hot FM) dan Zack Merican.

Muaz melakukan perubahan demi mengikut peredaran masa.

Program dua jam itu akan disiarkan secara langsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, dari Studio C, Sri Pentas, mulai pukul 7 pagi.

Dalam pada itu, Muaz melakukan perubahan dari segi penampilannya dan menjaga stamina untuk bersaing dengan pelapis muda.

"Saya perlu membuat perubahan dari segi cara pembawakan diri saya lebih santai dan kena jaga stamina memandangkan umur semakin meningkat.

"Kena sentiasa cergas sebab sekarang ini ramai pelapis muda dan saya kena bersaing dengan mereka.

"Saya kena kelihatan muda walaupun umur dah mencecah 34 tahun. Biar orang lihat kita nampak relevan," katanya.

Muaz Mohamed

Artikel Lain