suria

Selebriti Bergabung Kumpul RM300,000 Bantu Pelarian Rohingnya

Datuk AC Mizal, Datuk Zainal Abidin dan Datuk Afdlin Shauki bakal berangkat ke Bangladesh bagi menjalankan misi bantuan kemanusian kepada etnik Rohingnya di kem Cox Bazar, Bangladesh pada Mac depan. Foto AHMAD ZAMIR

BEBERAPA selebriti terkenal bergabung tenaga bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan bagi mencari dana berjumlah RM300,000 untuk membantu pelarian etnik Rohingnya yang kini berada di kem Cox Bazar, Bangladesh.

Pengasas Yayasan Afdlin Shauki, Datuk Afdlin Shauki berkata, menerusi dana berkenaan, pihaknya menyasarkan untuk membina perigi air, tandas perempuan, surau, sekolah dan lain-lain keperluan bagi memudahkan lagi aktiviti seharian mereka di kem pelarian.

“Alhamdulillah misi yang ingin kami jalankan ini mendapat perhatian rakan-rakan selebriti yang turut terpanggil untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

“Insya-Allah kami akan cuba memberi bantuan selain memfokuskan kepada membina keperluan asas untuk mereka terutamanya untuk golongan wanita,” katanya.

Afdlin ditemui pada sidang media Bantuan Kecemasan Rohingnya yang diadakan pada Khamis.

Afdlin bersama beberapa NGO lain bakal menghulurkan bantuan dan membina keperluan asas seperti tandas wanita dan surau untuk kemudahan pelarian.

Antara artis yang terlibat dalam misi tersebut adalah Datuk AC Mizal, Datuk Zainal Abidin, Adibah Noor dan Mizz Nina. Selain Yayasan Afdlin Shauki, misi itu turut disertai oleh Yayasan Kubra dan Into Taqwa.

Kumpulan itu bakal berangkat ke Bangladesh pada 17 sehingga 20 Mac depan.

Dalam pada itu, Afdlin berkata dia mengalu-alukan penglibatan golongan selebriti yang ingin menghulurkan bantuan selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengikut mereka tentang Rohingnya.

“Memang saya mengalu-alukan kepada mana-mana selebriti yang ingin menyertai misi ini kerana seperti saya dahulu pun tak pernah terlibat dalam misi kemanusian tetapi apabila dah ada pengalaman baru tahu banyak manfaatnya.

“Penglibatan selebriti juga Insya-Allah dapat dikongsi dengan pengikut mereka di laman sosial sekaligus dapat meningkat kesedaran masyarakat tentang masalah yang berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Afdlin berkata, ada pertikaian individu tertentu apabila pihaknya memfokuskan memberi bantuan di luar negara berbanding dalam negara sendiri.

Afdlin mengalu-alukan penglibatan lebih banyak selebriti. 

Bagaimanapun kata Afdlin, mereka memilih untuk membantu etnik Rohingnya kerana ia adalah insiden terbesar di dunia ketika ini.

“Jika kita lihat tragedi yang terpaksa dilalui mereka adalah paling teruk ketika ini dan ia adalah insiden terbesar di dunia.

“Kesusahan yang sedang mereka alami memang tidak dapat dibayangkan dengan keadaan yang begitu tidak terus akibat dizalimi.

“Jumlah pelarian pula ketika ini meningkat kepada 1.2 juta dan ia bertambah dari masa ke semasa dan mereka sangat perlukan bantuan,” katanya.

Sebarang bantuan yang ingin disalurkan menerusi Yayasan Afdlin Shauki boleh dibuat menerusi akaun Maybank  564810516713 (Yayasan Afdlin Shauki) atau atau Bank Islam 14023010012816 (Tabung Pendidikan Dan Kebajikan Yayasan Kubra).

Artikel Lain