suria

“Fattah Boleh Menyanyilah!” – Aizat Amdan

Aizat mengakui Fattah mempunyai suara yang baik dan mampu menjadi seorang penghibur versatil. Foto Instagram: @aizatamdan & @fattahaminz

KETIKA ada pihak mengutuk mutu suara Fattah Amin dan keupayaannya menyanyi, komposer Aizat Amdan menyuarakan pendapat bahawa netizen tidak sepatutnya mempertikaikan pembabitan aktor itu dalam dunia seni suara.

Menurut Aizat, 28, kecaman yang dilemparkan kepada Fattah tidak wajar kerana pelakon tinggi lampai itu mempunyai suara dan kelebihan tersendiri.

"Setiap orang boleh menyanyi termasuklah Fattah Amin. Jadi, tidak adil untuk kata dia tak boleh jadi penyanyi.

Lagu terbaharu Fattah Amin berjudul 1234U ciptaan Aizat turut mendapat perhatian netizen.

"Saya nampak dia ada kesungguhan dan sedang berusaha menjadi seorang penghibur serba boleh, itulah sebab saya bersetuju mencipta lagu untuknya.

"Fattah ada aura tersendiri dan boleh berjaya sebagai pelakon dan penyanyi. Sekarang ini saya nampak dia berusaha kearah itu," katanya kepada mStar Online.

Dia ditemui semasa program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia anjuran Warner Music Malaysia di Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa, Kedah pada Ahad lalu.

Seramai enam orang peminat bertuah turut dibawa bercuti ke pulau peranginan popular berkenaan.

Enam orang peminat bertuah dibawa bercuti bersama Aizat Amdan dan Nastia di Pulau Langkawi, baru-baru ini.

Lagu Wanita Terakhir dan 1234U nyanyian Fattah Amin merupakan ciptaan Aizat bersama Anas Amdan dan Mel Ramlan.

Lagu 1234U merupakan salah satu lagu runut bunyi bagi telefilem baharunya bersama Nur Fazura berjudul Wanita Terindah yang bakal bersiaran di Astro tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Aizat mengakui senang bekerjasama dengan pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu dan bersedia untuk mencipta lagu lain jika diminta.

"Insya-Allah jika dia minta saya cipta lagu lain selepas ini tiada masalah kerana saya senang bekerjasama dengan Fattah.

"Saya cipta lagu yang sesuai dengan suaranya dan tidak terlalu berat. Kami mahu pendengar rasa happy bila dengar lagu tersebut," katanya.

Aizat Amdan dan kumpulan Nastia menghiburkan peminat di Langkawi Sky Cab.

Dalam perkembangan yang lain, penyanyi lagu Jangan Menangis ini dalam proses menyiapkan album baharunya yang dijangka akan dilancarkan awal tahun depan.

Album tersebut dihasilkan sebagai menghargai pengorbanan dan impian bapanya iaitu Datuk Amdan Mat Din.

"Ayah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat serangan angin ahmar menyebabkan sebelah kanan badannya lumpuh.

"Apa yang membuatkan saya bersemangat nak buat album ini kerana ia adalah salah satu impian dan cita-cita ayah saya. Jadi, saya mahu tunaikan permintaan ini," katanya yang turut memohon doa peminat agar ayahnya segera sembuh seperti sedia kala.

Aizat Amdan, Fattah Amin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain