suria

Orang Kejar Hazama Nak Bagi Duit

Projek Hazama menjadi penyanyi gelandangan mencapai matlamat dan objektif.

TINDAKAN Hazama yang bertukar imej menjadi gelandangan di kaki lima Bukit Bintang pada 9 September lalu memberi kesan mendalam dalam dirinya sebagai seorang manusia.

Hazama, 33, tersentuh hati melihat sokongan penonton yang memberi tepukan gemuruh semasa dia mempersembahkan lagu di hadapan orang ramai yang tidak mengetahui dia adalah seorang penyanyi.

"Walaupun ketika itu saya berubah menjadi orang lain, berpakaian selekeh dan tidak terurus tetapi mereka (penonton) menghargai nyanyian lagu yang saya sampaikan.

Aksi Hazama ketika melakukan penyamaran sebagai penyanyi gelandangan.

"Saya dapat lihat masyarakat kita masih menghargai bakat berbanding populariti dan sokongan ikhlas mereka itu dapat dirasakan sampai ke hati.

"Lebih mengujakan, selepas persembahan ada yang mengejar saya semata-mata mahu memberikan duit dan minuman," katanya kepada mStar Online.

Hazama melakukan penyamaran itu pada 9 September lalu selepas merancang selama dua minggu.

Hazama sedang menjalani penggambaran video muzik, Aku Bukan Dewa di Pulau Kapas.

Malah, Hazama bersyukur kerana projek 'suka-suka' bersama produksi Rocketful Network ini berhasil dan menjadi perhatian ramai.

"Saya terkejut dengan reaksi orang ramai yang menonton video nyanyian saya itu di laman YouTube dan ada yang tak menyangka itu saya.

"Alhamdulillah, apabila berita mengenai ini tular di laman sosial, ramai yang memuji eksperimen yang kami lakukan," katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu Amaran Mama ini memaklumkan projek yang dilakukan ini bukan untuk mendapat keuntungan.

Sebaliknya untuk memberi kesedaran dan mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat dengan cara tersendiri.

"Kalau ada sokongan daripada mana-mana pihak yang ingin membantu, mungkin kita boleh teruskan aktiviti sebegini dan dana yang kita perolehi boleh disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Mungkin artis juga boleh turun padang dan hiburkan peminat dengan cara begini, ia lebih dekat dengan masyarakat," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terkini, Hazama sedang menjalani penggambaran untuk muzik video lagu terbaharu berjudul Aku Bukan Dewa di Pulau Kapas, Terengganu.

Lagu tersebut merupakan gandingannya bersama Altimet dan dijangka akan dilancarkan pada Oktober ini.

Hazama

Artikel Sebelum

Tauke (Jambu) Nikah Tertutup

Artikel Lain