suria

Fazley Dilantik Duta Pelancongan Halal Taiwan

Fazley (tengah) bersama rakan-rakan media yang turut dibawa ke Taiwan menyaksikan pelantikannya sebagai duta pelancongan halal di negara itu.

TAIPEI: Selebriti chef Datuk Fazley Yaakob dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal, Taiwan bagi mempromosi aspek pelancongan negara itu.

Fazley, 39, berkata, pelantikan tersebut juga bertujuan menepis perasaan kurang yakin dan keraguan pelancong Malaysia untuk datang ke Taiwan.

“Masih ramai yang tidak tahu bahawa ibu kota Taiwan, Taipei sebenarnya menyediakan banyak kemudahan untuk orang Islam terutama makanan halal, hotel yang menunjukkan arah kiblat serta penyediaan sejadah dan tandas awam bersesuaian kegunaan kita.

"Tidak hanya itu, puluhan brosur disediakan sebagai panduan untuk mencari restoran atau kafe halal di sana," ujarnya kepada mStar Online, pada Ahad.

Fazley ditemui pada majlis perlantikannya sebagai Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Taipei di sini.

Fazley (kanan) berharap pelantikan tersebut dapat memberi mendedahan lebih luas kepada masyarakat Malaysia yang ingin melancong ke Taiwan.

Sementara itu, Fazley berkata, pelantikan itu bermula secara lisan beberapa bulan lalu apabila dia terlibat beberapa kali dalam program anjuran Biro Pelancongan Taiwan.

“Saya telah memenangi pertandingan masakan itu sehingga mendapat liputan menyeluruh daripada pihak media Taiwan, Jepun dan China. 

“Sejak itu, saya sering mendapat undangan bagi mempromosikan Taiwan termasuk di Kuala Lumpur sehingga mereka melantik saya sebagai duta pelancongan halal," ujarnya.

Dalam pada itu, Fazley berharap pelantikan tersebut dapat mendedahan lebih luas kepada masyarakat Malaysia yang ingin melancong ke Taiwan.

"Para peminat boleh bertanya terus kepada saya di semua medium laman sosial Instagram, Facebook atau Twitter (@fazleyyaakob).

Tidak perlu berasa malu atau segan. Insya-Allah, saya cuba menjawab setiap pertanyaan anda. Sebagai duta, saya ibarat tour guide kepada ramai pelancong," ujarnya.

Beberapa media dari Malaysia termasuk mStar Online dibawa menyertai Fazley dalam rombongan berkenaan.

Datuk Fazley Yaakob

Artikel Berikut

Artikel Lain